Remaja Palestin ditembak mati dalam serbuan tentera Israel

Remaja Palestin ditembak mati dalam serbuan tentera Israel

BAITULAHAM, Wilayah Palestin, 8 Dis – Tentera Israel menembak mati seorang remaja Palestin berusia 19 tahun ketika pertempuran meletus semasa satu serbuan di kem pelarian bandar Baitulaham, Tebing Barat hari ini, menurut tentera Israel dan paramedik Palestin.

Selepas insiden yang berlaku di kem pelarian Dheisheh, pertempuran itu juga meletus di Aida, kem lain di Baitulaham, lapor Wafa, agensi berita rasmi Palestin.

Orang yang terbunuh itu dikenali sebagai Malek Shahin, namun punca serbuan masih tidak jelas.

Menurut tentera Israel, askar-askar yang memasuki Dheisheh telah disasarkan dengan bom paip dan bom petrol.

“Pasukan tentera melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menyuraikan rusuhan dan menghalang keganasan daripada bertambah teruk,” menurut jurucakap tentera.

Dia tidak dapat mengesahkan kematian warga Palestin berkenaan namun mengatakan tentera masih lagi menyiasat perkara itu. – AFP