Remaja Syria ditahan, rancang serangan bom

Remaja Syria ditahan, rancang serangan bom

BERLIN, 22 Sept – Seorang pelarian Syria berusia 16 tahun ditahan di Jerman kerana disyaki merancang serangan bom atas nama kumpulan militan Negara Islam (IS), kata pihak berkuasa kelmarin.

Remaja itu, dianggap menjadi radikal baru-baru ini, ditahan dalam satu operasi pasukan khas lewat semalam di pusat perlindungan pencari suaka di bandar barat Cologne, kata polis dan pendakwa raya.

Maklumat awal dikumpul daripada telefon bimbit remaja itu menunjukkan dia melahirkan ‘kesediaan’ untuk menjalankan serangan, kata Klaus-Stephan Becker dari polis Cologne kepada media.

Penyiasat menemui rentetan mesej sembang dalam talian yang mengandungi ‘arahan konkrit untuk membangunkan peranti letupan’ selain maklumat bagaimana mencetuskan kerosakan maksimum, tambah pendakwa raya umum Ulf Willuhn dalam sidang media.

Katanya, tidak jelas berapa sejauh mana perkembangan serangan itu.

Menurut satu kenyataan awal oleh polis dan pendakwa raya, perbualan ditemui dalam telefon remaja itu menunjukkan dia berhubung dengan seorang individu di luar negara yang ada kaitan dengan Daesh dan ‘mahu merekrut golongan muda Syria untuk aktiviti Islam.’

Pihak berkuasa keselamatan Jerman menyifatkan suspek sebagai “ancaman yang serius” dan telah mengerahkan satu pasukan yang mempunyai 35 penyiasat mahir dalam kes itu. Pemuda itu difahamkan telah tiba di Jerman bersama keluarganya pada tahun lepas.

Dia telah dibawa kepada perhatian polis sebanyak dua kali sebelum ini, selepas penduduk sekitar dan pekerja di tempat tinggal pencari suaka ‘menyuarakan kebimbangan bahawa dia telah menjadi radikal. Tetapi polis berkata, maklumat yang diperolehi belum mencukupi bagi sesuatu tindakan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA