Remaja terlep...

Remaja terlepas dari mulut buaya

SYDNEY, 19 Mac – Seorang remaja Australia bernasib baik kerana masih hidup, kata anggota paramedik hari ini, selepas dia dilaporkan berjaya melepaskan diri daripada dibaham oleh buaya dengan menumbuknya di kepala ketika berenang pada lewat malam di sebatang sungai.

Pemuda berusia 18 tahun itu, dinamakan dalam media sebagai Lee de Paauw, mengalami kecederaan di lengan kiri selepas dia diserang di Sungai Johnstone di pantai timur laut Australia pada awal pagi ini, kata Perkhidmatan Ambulans Queensland (QAS).

Dia telah melompat ke dalam sungai sebagai satu cabaran ketika “berparti bersama kawan,” beritahu penyelia kanan operasi QAS Cairns Neil Noble kepada wartawan.

“Dia bernasib baik kerana dia terselamat dan dia dijangka menjalani pembedahan atas luka di lengannya,” kata Noble.

Seorang remaja bertindak menumbuk seekor buaya untuk melepaskan dirinya daripada dibaham. – AFP
Seorang remaja bertindak menumbuk seekor buaya untuk melepaskan dirinya daripada dibaham. – AFP

Akhbar tempatan Cairns Post berkata Pauuw melepaskan diri daripada cengkaman buaya di lengan kirinya dengan menumbuknya di kepala dengan tangan kanannya.

Usaha kawan De Paauw untuk mengeluarkannya daripada air membantunya hidup, tambah Noble.

Buaya biasa ditemui di kawasan utara Australia di mana jumlah mereka telah meningkat sejak pengenalan undang-undang perlindungan pada tahun 1971.

Buaya membunuh kira-kira dua orang setiap tahun di Australia. – AFP