Remaja yang disyaki diculik, ditemui selamat

Remaja yang disyaki diculik, ditemui selamat

SHAH ALAM, 1 Jan (Bernama)– Remaja perempuan berusia 14 tahun yang disyaki diculik ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Klang Utara, Ahad lepas ditemui selamat di hadapan sebuah stesen minyak di Banting dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata remaja itu ditemui di dalam sebuah kereta bersama seorang lelaki yang dipercayai teman lelakinya kira-kira pukul 7.45 malam.

“Remaja itu ditemui bersama seorang lelaki berusia 19 tahun di dalam sebuah kereta di hadapan stesen minyak di Kanchong Darat, Banting.

Soal-siasat ke atas remaja itu menunjukkan mangsa sengaja mereka cerita kononnya dia telah diculik dengan tujuan untuk hidup bebas daripada keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook Polis Selangor, hari ini.

Beliau berkata remaja itu turut mengakui menumpang di rumah rakan teman lelakinya sepanjang tempoh kehilangannya.

Katanya, rakaman perbualan telefon antara remaja perempuan dengan kakak angkatnya yang telah menjadi viral di dalam media sosial sehingga memberi gambaran bahawa remaja perempuan itu telah diculik dan dilarikan dengan sebuah van putih juga adalah tidak benar.

Abdul Samah berkata susulan kes itu, polis kini menahan teman lelaki remaja itu dan seorang lagi lelaki berusia 45 tahun yang merupakan rakan teman lelakinya.

“Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di rumahnya Bandar Sungai Emas, Banting kira-kira pukul 10.15 malam tadi kerana menumpangkan remaja perempuan itu tinggal di rumahnya.

Kedua-dua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik atau melarikan remaja perempuan yang berumur kurang daripada 16 tahun, tanpa persetujuan atau keizinan penjaganya yang sah.

Kata Abdul Samah, remaja perempuan yang dikategorikan sebagai kanak-kanak bawah umur telah dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.

Remaja itu sebelum ini dikatakan tidak pulang ke rumah sejak pukul 2.30 petang Ahad, selepas memaklumkan kepada ibunya dia keluar untuk berjumpa rakan.

Susulan itu, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya kira-kira pada pukul 8.20 malam, Isnin lepas.

Satu rakaman perbualan telefon remaja itu selama tiga minit 43 saat turut dimuat naik di laman sosial dipercayai dilakukan anggota keluarganya sebagai langkah meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada pihak berkuasa.

Menerusi rakaman itu, remaja perempuan berkenaan menangis dan merayu supaya anggota keluarganya segera menyelamatkannya dan menyatakan ramai lagi individu lain turut ditahan di dalam sebuah gudang serta mendakwa penculik akan menjual mereka.

Menurut remaja itu lagi, beberapa lelaki dari sebuah van putih telah menculiknya ketika dalam perjalanan pulang dan papan tanda terakhir yang dilihatnya sebelum ditutup mulut menggunakan kain adalah Johor Baharu.

ARTIKEL YANG SAMA