Renato tidak kisah digelar ‘bertuah’

Renato tidak kisah digelar ‘bertuah’

UEFA-Euro-2016-Logo

MARSEILLE, 1 Julai (AFP) – Penyelamat Portugal di perlawanan masa sebenar, Renato Sanches, tidak kisah jika mereka dilabel ‘bertuah’ selepas mara ke separuh akhir Euro 2016 hasil kemenangan 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Poland.

Skuad bimbingan Fernando Santos itu belum memenangi sebarang perlawanan dalam tempoh 90 minit pada kejohanan kali ini, namun kini hanya dipisahkan satu perlawanan untuk ke pentas final pada 11 Julai nanti.

Sanches, 18, adalah pemain termuda yang meledak gol pada pusingan kalah mati di pentas Euro dengan jaringannya memadam gol pendahuluan Robert Lewandowski seawal minit kedua.

Selepas jaringan itu, kedua-duanya terikat 1-1 selepas 120 minit perlawanan berlangsung.

“Detik yang indah untuk pasukan dan juga kepada saya kerana berjaya menjaringkan gol. Kami bekerja keras dan sudah melakukan yang terbaik.

“Orang mengkritik kami tetapi kami tidak menghiraukannya kerana kami sudah berada di separuh akhir.

“Banyak kerja keras yang dilakukan untuk mendapat tuah sebegini. Kadang kala tuah itu datang kerana kami bekerja dengan keras,” katanya.

Cristiano Ronaldo dan Sanches menyempurnakan sepakan penalti penentuan, yang menyaksikan mereka menjaringkan semua lima sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir keempat dalam lima Euro terakhir.

“Jurulatih bertanya siapa yang mahu mengambil sepakan penalti. Cristiano mahu mengambil sepakan pertama dan saya mahu menjadi orang kedua.

“Jurulatih percaya kepada saya dan saya juga yakin untuk mengambil tendangan terbabit. Saya hanya fikir mengenai jaringan gol.

“Saya begitu tenang serta yakin untuk melakukannya seperti yang saya biasa lakukan dan saya berjaya menyempurnakannya dengan baik,” kata Sanches yang menyertai Bayern Munich daripada Benfica dengan nilai perpindahan 35 juta euro.