Rentak Man United hambar

Rentak Man United hambar

LONDON, 13 Dis (AFP) – Josh King kembali menghantui Manchester United awal pagi tadi ketika jaringannya memberikan kemenangan bermakna 2-1 buat Bournemouth yang melengkapkan minggu penuh mengecewakan buat skuad Louis van Gaal.

United berharap boleh menukar keadaan selepas tersingkir daripada Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu tetapi Junior Stanislas meletakkan Bournemouth di depan menerusi sepakan penjuru selepas 100 saat.

Walaupun Marouane Fellaini menyamakan kedudukan, bekas pelatih United, King menghukum kesilapan pertahanan bagi mencipta gol kemenangan pada minit ke-54.

United boleh menyamakan kedudukan dengan pendahulu baharu Liga Perdana Manchester City, namun kekalahan ketiga dalam kempen meletakkan mereka tiga mata di belakang pada tangga keempat dan berisiko ketinggalan enam mata di belakang Leicester City, yang menanti kehadiran Chelsea esok, mewujudkan keadaan lebih buruk buat Van Gaal.

“Sekali lagi, menerusi dua gerakan, seperti berdepan Wolfsburg (yang menewaskan United 3-2 awal pagi Rabu lalu), dan itu tidak normal buat kami,” kata Van Gaal kepada Sky Sports.

“Pemain sudah melakukan apa saja, namun Bournemouth memberi tekanan terhadap bola dengan cara yang hebat, yang menjadikan ia sukar bagi mendapatkan gol penyamaan dan mencipta peluang.”

Ditanya jika dia mengekalkan keyakinan bahawa dia adalah individu sebenar yang boleh membawa United ke depan, Van Gaal membalas: “Saya sentiasa yakin.”

Ia adalah kemenangan kedua yang menakjubkan dalam seminggu buat skuad Eddie Howe, Bournemouth selepas kejayaan 1-0 mengatasi juara bertahan Chelsea hujung minggu lalu dan meletakkan mereka tiga mata daripada zon penyingkiran.

ARTIKEL YANG SAMA