Rentak permainan perlu dikekalkan

Rentak permainan perlu dikekalkan

MADRID, 7 Dis – Penyerang Real Madrid, Gareth Bale menuntut rakan sepasukan mengekalkan rentak pemulihan prestasi mereka susulan masalah yang menimpa kelab itu baik di luar mahupun di dalam padang apabila melayan kunjungan Malmo dalam aksi terakhir kumpulan saingan Liga Juara-Juara, awal pagi Rabu ini.

Real tewas 0-4 kepada musuh tradisi, Barcelona di laman sendiri, bulan lalu dan tersingkir daripada saingan Piala Sepanyol, minggu lalu kerana menurunkan pemain yang tidak layak beraksi.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Rafael Benitez itu sekurang-kurangnya berjaya merekodkan empat kemenangan berturut-turut sejak kekalahan memalukan di tangan Barcelona dengan Bale kembali menemui sentuhan penyudahannya apabila menjaringkan gol ketika menentang Eibar dan Gatafe dalam saingan Liga Sepanyol.

Kemenangan 4-1 ke atas Gatafe, Sabtu lalu menyaksikan Bale, Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo menjaringkan gol dalam perlawanan yang sama buat kali pertama musim ini.

Pasukan Real Madrid ketika menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Malmo di Liga Juara-juara. - AFP
Pasukan Real Madrid ketika menjalani latihan menjelang perlawanan menentang Malmo di Liga Juara-juara. – AFP

Bale menafikan wujud masalah antara bintang Real dengan Benitez.

“Hubungan dengan Benitez baik. Kami menunjukkan kami pada tahap prestasi terbaik ketika menentang Getafe. Adalah penting seluruh pasukan bersatu, menang setiap perlawanan dan cuba melakukan yang lebih baik setiap hari,” kata Bale. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA