Rentasi 65,000km, betulkan salah faham tentang Islam

Rentasi 65,000km, betulkan salah faham tentang Islam

BANGKOK, 14 Sept – Selepas hampir 370 hari menaiki motosikal secara solo merentasi 40 negara, empat benua dan 65,000km laluan berliku, Anita Yusof kini semakin hampir untuk menamatkan pengembaraannya.

Walaupun motivasi utama pensyarah di Institut Pengajian Guru di Ipoh, Perak adalah untuk menyumbang kepada negara, tetapi pada masa sama beliau ingin menyampaikan mesej tersirat tentang isu penting yang membelenggu agama Islam ketika ini.

“Sekarang ini terlalu ramai yang Islamophobia, yang menganggap Islam ini adalah keganasan, diskriminasi terhadap wanita dan menganggap Islam tidak membenarkan anak perempuan belajar dan bekerja, banyak yang negatif.

“Jikalau mereka kata agama Islam itu rigid, mengongkong wanita sehingga tidak membenarkan mereka belajar, saya katakan kepada mereka, “Bagaimana saya boleh mengelilingi dunia menunggang motosikal secara solo,” katanya kepada Bernama di sini.

Anita berada di Bangkok dalam pusingan terakhir pengembaraan solonya, dijangka tiba di sempadan negara di Bukit Kayu Hitam tepat pada 11 pagi Jumaat ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Aksi Anita Yusof ketika mengelilingi dunia menaiki motosikal secara solo. – Bernama
Aksi Anita Yusof ketika mengelilingi dunia menaiki motosikal secara solo. – Bernama

Beliau berharap pengembaraan dan pencapaiannya itu sedikit sebanyak dapat memainkan peranan dalam mengikis pandangan serong orang ramai terhadap agama dan wanita Islam.

“Ia adalah sumbangan kecil saya dan saya berharap dapat membetulkan persepsi salah itu,” katanya.

Anita yang mengambil cuti tanpa gaji selama setahun dan mengeluarkan lebih RM100,000 daripada poket sendiri untuk pengembaraannya, bakal diiktiraf sebagai wanita Islam Malaysia pertama bermotosikal mengelilingi dunia secara solo.

Pencapaiannya itu juga berkemungkinan menjadikan beliau sebagai warga Malaysia dan wanita Asia pertama berjaya mengelilingi dunia dengan menaiki motosikal secara solo. – Bernama