‘Repco Low’ didapati bersalah

‘Repco Low’ didapati bersalah

KUALA LUMPUR, 11 Jan (Bernama) – Bekas Pengerusi Eksekutif Repco Holdings Bhd hari ini didapati bersalah atas pertuduhan cuba mengelirukan pasaran saham mengikut Akta Industri Sekuriti, 19 tahun lepas.

Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah membuat keputusan itu terhadap Low Thiam Hock, 54, selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mahkamah menetapkan 19 Jan depan untuk mendengar rayuan dan menjatuhkan hukuman selepas membenarkan permohonan peguam Edmund Bon yang mewakili tertuduh supaya diberikan masa untuk membuat rayuan lengkap bagi meringankan hukuman.

Mat Ghani juga membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Sekuriti Ros Mawar Rozain supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan mengekalkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.

Hakim dalam keputusannya berkata pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian.

“Selepas mahkamah membuat penilaian maksimum, meneliti keterangan tertuduh dan saksi, pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh. Tertuduh didapati bersalah mengikut Seksyen 84(1) Akta Industri Sekuriti 1983,” katanya.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 25 saksi pendakwaan dan lapan saksi pembelaan termasuk pakar pasaran saham.

Pada 1999, Low, yang lebih dikenali sebagai Repco Low dituduh di Mahkamah Sesyen kerana didakwa mengarahkan seorang wakil Sime Securities Sdn Bhd untuk membeli saham Repco Holdings dengan menyerap apa-apa harga tawaran saham itu yang ditawarkan oleh penjual saham di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa boleh menimbulkan kekeliruan berhubung harga saham Repco di pasaran.

Low dari Kota Kinabalu, Sabah, didakwa melakukan kesalahan itu di Sime Securities, Tingkat 21, Bangunan Sime Bank, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, antara 11 pagi dan 5 petang, 3 Dis 1997.

ARTIKEL YANG SAMA