Resepsi Hari Kebangsaan Oman

Resepsi Hari Kebangsaan Oman

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Kedutaan Kesultanan Oman di Brunei Darussalam, malam ini, telah mengadakan majlis resepsi makan malam sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kesultanan Oman ke-46 tahun, yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar dan isteri , Datin Hajah Noryasimah binti Abdullah.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kesultanan Oman ke Brunei Darussalam, Sheikh Ahmed bin Hashil Bin Rashid Al-Maskari dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa 32 tahun telah berlalu sejak penubuhan hubungan diplomatik di antara Kesultanan Oman dan Negara Brunei Darussalam.

Sepanjang tempoh tersebut, kedua-dua buah negara telah menyaksikan pembangunan tetap dalam hubungan dua hala, diserlahkan dengan kerjasama yang membuahkan hasil dalam pelbagai bidang.

Menurut beliau, pada Mac lalu, delegasi dari Brunei yang dipimpin oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng bersama Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin telah membuat lawatan ke Kesultanan Oman.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin dan Sheikh Ahmed memotong kek sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kesultanan Oman ke-46.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin dan Sheikh Ahmed memotong kek sempena Sambutan Hari Kebangsaan Kesultanan Oman ke-46.
Antara jemputan yang hadir di majlis  resepsi berkenaan.
Antara jemputan yang hadir di majlis resepsi berkenaan.

Semasa lawatan itu, katanya, mereka bertemu beberapa orang menteri Oman dan melawat beberapa buah institusi di bawah bidang ekonomi, tenaga dan industri serta menyertai Mesyuarat Perunding Bilateral ke-16.

Dalam bidang kebudayaan di antara kedua-dua negara, beliau berkata, Kesultanan Oman telah menyertai Pesta Buku Brunei Februari lalu, melancarkan Omani Publication Corner pada Mac 2016 di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan kerajaan Kesultanan Oman juga meneruskan penganugerahan biasiswa untuk pelajar dari Brunei yang belajar Bahasa Arab di Oman.

“Tahun ini, kumpulan kedua terdiri daripada pelajar UNISSA ditaja oleh kerajaan Kesultanan Oman untuk belajar Bahasa Arab selama lapan minggu di Sultan Qaboos College for Teaching Arabic Language to Non-Native Speakers,” ujarnya.

Selain itu, kerajaan Brunei juga menghantar empat pelajar dari Fakulti Bahasa Arab dan Tamadun Islam UNISSA untuk belajar selama setahun di Kolej Kesenian dan Sains Sosial, Universiti Sultan Qaboos, tambahnya.

Terdahulu, majlis resepsi berkenaan telah dimulakan dengan laungan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman diikuti dengan acara memotong kek Sambutan Hari Kebangsaan Kesultanan Oman ke-46 tahun oleh Yang Berhormat Pehin Haji Mohd Yasmin dan Sheikh Ahmed.

ARTIKEL YANG SAMA