Resipi raih kejayaan

Resipi raih kejayaan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – “Anda harus mempunyai sikap yang betul untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” pesan Pegawai Pendidikan, Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Awang Noralizurainee bin Aliyusop yang kehilangan daya penglihatan pada usia remajanya, dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan kehidupan untuk meraih kejayaan.

Awang Norali berkata lagi bahawa pelbagai cabaran dan rintangan akan dilalui sepanjang perjalanan hidup tetapi sikap seseorang itu untuk mencari penyelesaian dan keazaman diri untuk menangani cabaran yang dihadapi akan menentukan hala tuju serta kecemerlangan dirinya.

Pesanan penuh inspirasi itu merupakan antara kata-kata inspirasinya semasa berkongsi pengalaman dan perjalanan hidupnya dalam menangani cabaran sebagai seorang individu kurang daya penglihatan dalam usia lewat remajanya semasa Siri Ceramah Forum Belia Chevening Brunei yang berlangsung di The Core, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil bin Rashid Al-Maskari, Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama David Campbell, Presiden Persatuan Chevening Brunei, Awang Abdul Matiin bin Haji Muhammad Kassim, ahli-ahli Persatuan Chevening Brunei, ahli-ahli Alumni Chevening Brunei serta para belia yang dijemput untuk sama-sama menjayakan sesi ceramah khas itu.

Awang Norali dalam sesi kongsi sama itu, menceritakan mengenai pengalamannya apabila disebabkan oleh penyakit Meningitis pada usia lewat remajanya, beliau kehilangan daya penglihatan dan bagi tempoh beberapa tahun selepas itu, beliau kehilangan arah tuju tetapi satu peristiwa penting memberikannya semangat baru untuk mengorak langkah meneruskan pengajiannya apabila beliau mendengar kisah penuh inspirasi seorang pendaki gunung yang juga hilang daya penglihatan berjaya mendaki Gunung Everest.

Awang Norali yang mengongsi moto hidupnya iaitu dengan sikap yang betul, mereka boleh mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kehidupan.
Awang Norali yang mengongsi moto hidupnya iaitu dengan sikap yang betul, mereka boleh mencapai tahap yang lebih tinggi dalam kehidupan.
TYT Sheikh Ahmed dan TYT David Campbell yang menghadiri siri ceramah itu.
TYT Sheikh Ahmed dan TYT David Campbell yang menghadiri siri ceramah itu.

Beliau berkata bahawa pelbagai cabaran perlu dilalui apabila beliau kembali untuk melanjutkan pelajarannya termasuk untuk mempelajari semula kaedah membaca dan menulis serta beliau juga kehilangan upaya berdikarinya kerana kini memerlukan bantuan untuk bergerak ke kelasnya.

Namun semua cabaran, rintangan dan juga cemuhan orang di sekeliling banyak mengajarnya untuk bersikap tabah, tidak berputus asa serta untuk sentiasa percaya kepada kebolehannya sendiri.

Beliau juga berkata bahawa sokongan daripada ibu bapa, keluarga serta rakan-rakan juga banyak memberikannya semangat untuk meneruskan kehidupan dan disebabkan oleh sokongan dan kepercayaan mereka itu juga, kini beliau meraih pelbagai kejayaan dalam hidup serta mampu hidup seperti individu lain dalam masyarakat.

Terdahulu daripada itu, Awang Abdul Matiin dalam kata alu-aluannya menyatakan harapan supaya ceramah inspirasi itu akan memberikan para penonton motivasi dan keinginan untuk meraih kejayaan walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan.

Beliau berharap mereka dapat mengambil iktibar daripada kisah hidup Awang Norali yang mana beliau tidak menjadikan kekurangan daya penglihatannya sebagai satu alasan dan mengecilkan dirinya tetapi menjadikannya lebih teguh serta berjaya dalam kehidupan.

Sementara itu, TYT David Campbell pula menyatakan bahawa beliau amat mengalu-alukan inisiatif terbaru yang dilaksanakan oleh Alumni Chevening Brunei di mana beliau yakin siri ceramah itu akan memberikan manfaat yang berguna kepada masyarakat.

Beliau percaya bahawa pengalaman yang dilalui oleh para alumni yang menyampaikan ceramah dalam siri-siri ceramah itu, dapat membantu para individu untuk melalui cabaran untuk meraih kejayaan dalam pelajaran, kerja atau sukan supaya mampu menjadi contoh terbaik.

Sesi ceramah itu turut menyaksikan perkongsian pengalaman oleh alumni Chevening 2002/2003, yang juga merupakan Penyelaras bagi Kurang Daya Pendengaran di Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dr. Hajah Norbayah binti Haji Shahminan.

Beliau yang juga merupakan penulis buku bertajuk ‘Jari-Jari Ku’, mengongsi kepakarannya dalam berkomunikasi dengan mereka yang mempunyai masalah kurang daya pendengaran dengan menggunakan bahasa isyarat asas.

Siri ceramah itu dianjurkan oleh Persatuan Chevening Brunei di bawah Forum Belia Chevening Brunei yang dihasratkan untuk mempromosikan peluang-peluang menjalinkan rangkaian kepimpinan dalam kalangan belia menerusi interaksi mereka dengan ahli-ahli Alumni Chevening.

ARTIKEL YANG SAMA