Restoran bukan Islam buat rayuan

Restoran bukan Islam buat rayuan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Pengusaha-pengusaha restoran bukan Islam di negara ini merayu kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) agar membenarkan mereka melayan pelanggan yang bukan Islam semasa bulan Ramadan.

Dalam sepucuk surat yang ditandatangani oleh 16 pengusaha restoran bukan Islam mereka memberi alasan terpaksa menanggung kos yang agak tinggi untuk membayar sewa kedai, sewa tempat tinggal pekerja, gaji pekerja dalam lain-lain.

“Kami memohon agar pihak KHEU dapat mempertimbangkan semula atau memberi sedikit kelonggaran bagi membantu kami mengatasi masalah ini.

“Kami berjanji sekiranya KHEU membenarkan, kami akan melayan pelanggan dengan secara menutup pintu agar tidak dilihat oleh orang ramai dan juga bagi menghormati umat Islam yang sedang berpuasa.

“Kami sedia menerima apa sahaja arahan dari pihak KHEU setelah rayuan kami dipertimbangkan semula,” kata mereka.

Pada 15 Jun lalu, KHEU mengeluarkan kenyataan mengingatkan seluruh rakyat dan penduduk di negara ini supaya menghormati bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan dengan mematuhi undang-undang serta menunaikan kewajipan yang telah ditetapkan.

“Kita hendaklah jangan keliru dengan kewajipan berpuasa di bulan Ramadan dengan kewajipan dari segi undang-undang agar menghormati bulan Ramadan yang menghendaki semua orang sama ada beragama Islam mahupun bukan Islam untuk tidak makan atau minum apa jua makanan atau minuman atau menghisap apa jua tembakau di tempat awam semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan,” kata KHEU.

Dalam kenyataan tersebut, KHEU turut menegaskan bahawa menjual atau menghidangkan makanan atau minuman untuk dimakan atau diminum dengan serta-merta atau “dine in” di kedai makan atau restoran-restoran yang merupakan tempat awam, semasa waktu berpuasa dalam bulan Ramadan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah undang-undang yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mei 2014.

ARTIKEL YANG SAMA