Restoran Gred A meningkat

Restoran Gred A meningkat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT,10Jun – Sebanyak 12 kedai makan/restoran daripada 38 buah premis yang dinilai pada bulan April hingga Jun lalu telah mendapat Gred A yang diberikan oleh Jawatankuasa Panel Pemeriksaan Penilaian Penggredan (PPP) Fasa 1 Tahun 2015 di bawah kawalan Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria.

Kedai-kedai makan/restoran yang mendapat markah 90 hingga 100 peratus (Gred A), terdiri daripada Coffee Bean & Tea Leaf Jalan Maulana Kuala Belait, Restoran Indah Damai Jalan Sungai, Sunnybee Bakeshop and Cafe di Jalan Sungai, Serikandi Cafe & Restaurant Rumah Persinggahan Kerajaan, Charcoal BBQ & Grill Jalan Maulana, Tez Amore Care Bangunan Wisma Yakin, Sorriso Restaurant & Pizzaria Jalan Jaya Negara, Zaika Sdn Bhd Jalan Bunga Raya, Gulingao Dessert House Bangunan Kompleks Harapan, Fiore Restaurant Bangunan Kompleks Harapan dan Restoran Nur Wanita juga di Bangunan Kompleks Harapan Jalan setia Diraja Kuala Belait.

Sementara itu, 11 buah kedai makan/restoran lagi telah memperolehi Gred B, dengan markah 81 hingga 90 peratus dan lapan buah memperolehi Gred C dengan markah 71 hingga 80 peratus, manakala lima lainnya tidak diberikan sebarang sijil atau pengiktirafan ekoran gagal menepati piawaian pemarkahan PPP berkenaan.

Majlis Penyampaian Sijil-sijil PPP Kedai Makan/Restoran itu telah diadakan di kawasan Taman Persiaran Jalan Sungai, dekat sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil-sijil berkenaan ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.

Haji Muhammad Sunadi menyampaikan sijil penggredan kepada Pengurus Restoran Chicken King Fast Food.
Haji Muhammad Sunadi menyampaikan sijil penggredan kepada Pengurus Restoran Chicken King Fast Food.

Dalam ucapan alu-aluannya Pengerusi Majlis selaku Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran Kuala Belait dan Seria, Awang Sarih bin Tabong berkata, pemeriksaan penilaian fasa pertama tahun ini telah menunjukkan peningkatan kepada kira-kira 33 peratus bagi yang mendapat Gred A jika dibandingkan dengan jumlah pada tahun lepas iaitu 13 peratus, dengan lima premis sahaja yang berjaya memperolehi Gred A.

Menurutnya, fasa pertama tahun ini adalah bagi sijil-sijil PPP yang diberikan untuk pemeriksaan semula ke atas premis-premis makanan yang telah pun mansuh bagi fasa 1/2014 pada 14 Januari 2014 dan fasa 2/2014 pada 23 Mac 2014 lalu, di mana kedua-dua fasa itu memerlukan untuk diperbaharui bagi tempoh selama dua tahun mulai 10 Jun 2015 hingga 09 Jun 2017.

“Dengan adanya sijil pengiktirafan yang dipamerkan di premis perniagaan masing-masing, ia akan dapat memastikan para pengusaha akan terus komited tentang aspek kebersihan dan keselamatan makanan,” katanya.

Penilaian penggredan ini bertujuan bagi menjaga tahap kualiti kebersihan makanan, di samping untuk menjaga keselamatan, keindahan dan perkhidmatan kepada pelanggan dan pengunjung ke Daerah Belait ini, akan lebih berkeyakinan dalam menjamu selera di kedai-kedai atau restoran berkenaan.

Sebanyak 12 kedai makan/restoran yang telah memperolehi Gred A melalui Pemeriklsaan Penilaian Penggredan Fasa 1 Tahun 2015.
Sebanyak 12 kedai makan/restoran yang telah memperolehi Gred A melalui Pemeriklsaan Penilaian Penggredan Fasa 1 Tahun 2015.

“Pelanggan bukan sahaja mementingkan menu makanan yang sedap tetapi juga mementingkan kebersihan dan keselamatan serta keindahan persekitarannya, dengan itu akan boleh menarik lebih ramai pengunjung bukan saja dari dalam negeri bahkan juga daripada kalangan pelancong luar negara,” ujar Awang Sarih.

Beliau juga turut mengingatkan para pengurus, pemilik dan pengendali makanan di premis berkenaan supaya akan sentiasa memastikan kebersihan, dan menekankan bahawa jabatan mereka dengan kerjasama Jabatan Kesihatan akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa, dan jika mendapati tahap penilaian kebersihan kurang meyakinkan, maka restoran atau kedai makan terbabit akan diarahkan untuk ditutup serta-merta.

Majlis hari ini diteruskan dengan kunjungan tetamu kehormat ke beberapa buah premis yang mendapat Gred A untuk acara menggantungkan sijil penggredan berkenaan, antara yang dikunjungi termasuk Restoran Gulingao Desert House, Restoran Nur Wanita, Restoran Coffee Bean and Tea Leaf, Charcoal BBQ and Drill, serta Restoran Chicken King.

ARTIKEL YANG SAMA