Restoran wanita pecahkan tabu gender

Restoran wanita pecahkan tabu gender

KABUL – “Restoran saya masih baru dan ia baru sahaja membuaka pintunya dua bulan yang lalu, tetapi saya begitu gembira dengan apa yang kami telah capai setiap hari dan menghasilkan pendapatan yang baik,” kata pengurus bagi restoran pertama yang dikendalikan oleh wa-nita di Afghanistan, Farzana Ludin.

Restoran tersebut telah ditubuhkan dengan bantuan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pusat Pembangunan Sutera Wanita Afghanistan (AWSDC) dan terletak di kawasan bandar Shahr-e-Now, di ibu negara Kabul.

Restoran Bost Family menandakan sebuah restoran pertama yang dimiliki oleh wanita dan dikendalikan oleh wanita di tengah-tengah masyarakat yang didominasi oleh golongan lelaki.

Bertujuan untuk menggalakkan wanita untuk menunjukkan kebolehan mereka dan lebih banyak terlibat dalam aktiviti sosial, politik dan ekonomi bagi mencapai pemerkasaan dan berdikari. Farzana berkata wanita Afghan mempunyai bakat untuk berdikari sendiri jika mempunyai keazaman yang diperlukan.

“Restoran ini adalah untuk wanita dan keluarga mereka singgah dan menikmati hidangan dengan persekitaran yang tenang,” kata Farzana, dengan menambah bahawa tidak ada lelaki dibenarkan masuk melainkan ditemani oleh wanita.

Kelihatan seorang kakitangan wanita menyediakan makanan bagi sebuah meja yang sudah ditempah oleh pelanggan. – Xinhua
Kelihatan seorang kakitangan wanita menyediakan makanan bagi sebuah meja yang sudah ditempah oleh pelanggan. – Xinhua

Pelanggan-pelanggan bagi restoran itu kebanyakannya wanita dan keluarga, menurut Farzana, dengan menjelaskan bahawa keluarga-keluarga kaya kerap datang ke sana pada hari Khamis dan Jumaat, untuk menikmati makan tengah hari atau makan malam.

Kakitangan di restoran itu semuanya wanita dan pengurusnya yang berazam tinggi mahu meluaskan lagi aktivitinya dengan membuka lebih banyak cawangan restoran tersebut di masa akan datang jika keadaan mengizinkan.

“Pada masa ini terdapat 20 orang wanita termasuk saya dan seorang tukang masak lelaki yang bekerja di restoran ini,” kata pengurus restoran tersebut.Beliau menjelaskan bahawa tukang masak lelaki itu pernah bekerja di sebuah restoran di Dubai dan bekerja di sana untuk membantu para wanita menyediakan kedua hidangan Afghanistan dan asing.

Tukang masak lelaki itujuga mengajar kakitangan di restoran itu bagaimana untuk menyediakan hidangan tempatan dan antarabangsa, termasuk hidangan Barat dan Cina.

“Sebagai tambahan selain menyediakan hidangan tempatan kepada pelanggan kami, restoran kami juga menyediakan hidangan Cina dan Itali,” kata Farzana dengan bangga.

Kedudukan wanita dalam masyarakat Afghanistan telah meningkat sejak penyingkiran Taliban pada penghujung tahun 2001. Pada masa ini, ia bukan lagi sesuatu yang luar kelaziman untuk melihat wanita berkhidmat sebagai ahli politik kanan, penggubal undang-undang, pemimpin perniagaan dan sebagai anggota polis atau tentera.

Bagaimanapun, ini adalah kali pertama bahawa wanita sudah cukup bernai membuka sebuah restoran di dalam masyarakat yang masih kuat mempercayai bahawa wanita perlu tinggal di rumah dan tidak perlu bekerja di luar rumah. Dan hakikatnya di beberapa kawasan pedalaman, wanita diharamkan meninggalkan rumah dan bekerja untuk diri sendiri adalah dikira tabu.

Keadaan restoran yang bersih dan dihiaskan dengan cantik serta para pekerja restoran yang berpakaian seragam khas antara tarikan pelanggan ke restoran tersebut. Namun oleh sebab ia sesuatu yang baru dan luar daripada kebiasaan, merupakan sebab utama ia menjadi begitu popular dalam masa yang singkat dalam kalangan penduduk yang tinggal berdekatan, serta mereka yang tinggal jauh sanggup memandu untuk singgah.

“Jumlah pelanggan kami semakin bertambah dan begitu juga dengan pendapatan kami,” kata Farzana dengan gembira.

Bagi menarik lebih ramai pelanggan, restoran itu juga menyediakan perkhidmatan menghantar tempahan ke rumah.

“Saya telah bekerja di sini sebagai pelayan restoran sejak ia dibuka dua tahun yang lalu dan saya gembira dengan kerja saya ini,” kata Hanis Karimi, dengan jelas terpancar ceria di wajahnya.

“Ibu bapa Afghanistan secara tradisionalnya tidak membenarkan anak perempuan mereka bekerja di luar rumah, tetapi oleh sebab kakitangan dan pemilik restoran ini kesemuanya wanita, ibu bapa saya tidak ada bantahan,” kata Hanis. – Xinhua

ARTIKEL YANG SAMA