Retak menanti belah

Retak menanti belah

MADRID, 24 Nov (Agensi) – Dua hari selepas kekalahan memalukan 0-4 kepada Barcelona di depan penyokong sendiri, kedudukan pengurus Real Madrid, Rafael Benitez semakin terancam selepas bintang penyerang, Cristiano Ronaldo secara terbuka mahu jurulatih itu dipecat atau dia akan meninggalkan kelab.

Menurut media Sepanyol, Ronaldo memberitahu rakan-rakan sepasukannya dalam bilik persalinan bahawa hanya salah seorang daripada mereka akan kekal bersama Real kerana kedua-duanya tidak boleh lagi bekerjasama.

“Sama ada dia pergi atau saya pergi,” kata pemain antarabangsa Portugal itu, yang dikatakan turut berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi kelab.

Akhbar ​La Gazzetta dello Sport melaporkan, Ronaldo telah memberitahu teman rapatnya tentang hasrat meninggalkan Real seandainya Benitez kekal sebagai pengurus kerana dia bimbang gaya permainan, personaliti serta popularitinya jatuh di bawah bimbingan pengurus kelahiran Sepanyol itu.

Benitez bagaimanapun menafikan, dia ada mengadakan mesyuarat dengan Ronaldo dan kapten, Sergio Ramos pada hari sebelum pertemuan dengan Barcelona.

Kedudukan Benitez di Real Madrid semakin terancam selepas Cristiano Ronaldo secara terbuka mahu jurulatih kelab itu dipecat atau CR7 akan meninggalkan kelab. - Reuters
Kedudukan Benitez di Real Madrid semakin terancam selepas Cristiano Ronaldo secara terbuka mahu jurulatih kelab itu dipecat atau CR7 akan meninggalkan kelab. – Reuters

“Saya menghormati profesion kamu sebagai wartawan, tetapi berita tentang mesyuarat ini sama sekali salah,” kata Benitez.

Ronaldo, 30, dikatakan ‘mengamuk’ dalam bilik persalinan pada rehat separuh masa ketika kekalahan kepada Barcelona, sambil menegaskan dia mahu bertemu Presiden kelab, Florentino Perez untuk memberitahu, sama dia atau Benitez yang perlu meninggalkan pasukan.

Sabtu lalu, Real dimalukan dalam perlawanan yang menyerlahkan penguasaan Barca menerusi Luis Suarez serta Neymar, sedangkan Ronaldo berdiri di tengah padang di Santiago Bernabeu dengan wajah berputus harap.

Ada laporan mengatakan, Ronaldo sudah bosan dengan kehidupan di Madrid dan tidak mahu meneruskan karier bersama Real, biarpun mengharungi beberapa tahun yang hebat sejak menyertai gergasi bola sepak Sepanyol itu pada 2009 dari Manchester United.

Pemain Terbaik Dunia itu pernah merangkul kejuaraan La Liga dan Liga Juara-Juara sepanjang bersama Real.

Namun, kekalahan terbaharu meletakkan Real di tangga kedua liga dengan enam mata di belakang Barcelona.

ARTIKEL YANG SAMA