Retak menanti belah

Retak menanti belah

LONDON, 27 Okt (Agensi) – Hubungan pengurus kontroversi Chelsea, Jose Mourinho dengan kelabnya ibarat retak menanti belah kerana bakal berdepan pemecatan seandainya The Blues tewas kepada Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge Sabtu ini.

Pemilik Chelsea, Roman Abramovich nyata tidak gembira dengan kekalahan terbaharu 2-1 yang dialami pasukannya kepada West Ham Sabtu lalu dan semakin hilang sabar dengan Mourinho.

Hartawan Rusia itu meraikan ulang tahun kelahiran ke-49 pada Sabtu lalu, namun dia langsung tidak gembira ketika menyambut hari istimewa tersebut selepas menonton perlawanan ketika sedang bercuti di Turki.

Memburukkan lagi keadaan, Mourinho diarah meninggalkan bangku pemain pada separuh masa kedua selepas masuk ke bilik pengadil dan bergaduh dengan pegawai perlawanan Jon Moss pada waktu rehat.

Moss turut melayangkan kad merah kepada pemain tengah Chelsea, Nemanja Matic dan mengarahkan pembantu jurulatih mereka Silvino Louro meninggalkan tempat duduk pemain.

Hubungan Mourinho dengan Chelsea ibarat retak menanti belah. - Reuters
Hubungan Mourinho dengan Chelsea ibarat retak menanti belah. – Reuters

Jika selama ini Mourinho terus mendapat sokongan daripada Abramovich biarpun pasukannya sudah mengalami lima kekalahan liga, namun satu lagi keputusan buruk menentang Liverpool akan menyebabkan pengendali dari Portugal itu dipecat, menurut laporan akhbar Britain.

Tiada rundingan berjalan antara Abramovich dan Mourinho setakat ini, namun pemilik kelab itu dijangka hadir di Stamford Bridge untuk menonton pertemuan menentang The Reds.

Chelsea akan berdepan Stoke City dalam saingan Piala Liga hari ini, tetapi risiko hilang kejuaraan Liga Perdana dan menamatkan kempen di luar kelompok empat pasukan terbaik lebih membimbangkan. Selepas 10 perlawanan, mereka kini menghuni anak tangga ke-15, 11 mata ditinggalkan pendahulu Manchester City.

Tewas kepada skuad bimbingan Jurgen Klopp bakal memberi masalah besar kepada Mourinho, malah secara kebetulan, Klopp adalah jurulatih yang merosakkan reputasinya ketika dia di ambang untuk meninggalkan Real Madrid.

Klopp yang ketika itu membimbing Borussia Dortmund menyingkirkan Real menerusi agregat 4-3 dalam separuh akhir Liga Juara-juara 2013. Seminggu selepas perlawanan tersebut, Mourinho tidak lagi menjadi pengurus Real.

Sekiranya Abramovich nekad memecat Mourinho tahun ini, dia perlu membayar pampasan 37.5 juta pound kerana kontrak mewah bekas jurulatih Porto itu hanya akan tamat tiga tahun lagi.