Reus bantu Dortmund hambat Bayern

Reus bantu Dortmund hambat Bayern

BERLIN, 2 Nov (AFP) – Borussia Dortmund yang menduduki tangga kedua merapatkan jurang dengan pendahulu liga Jerman Bayern Munich kepada lima mata semalam apabila Marco Reus menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-1 ke atas Werder Bremen.

Reus menjaring gol pertama dan ketiga namun Borussia sepatutnya menang lebih besar apabila penyerang Gabon Pierre-Emerick Aubameyang mensia-siakan tiga peluang keemasan.

Pemain sayap kanan Henrikh Mkhitaryan mempamerkan aksi meyakinkan dengan gol kedua Dortmund selepas melakukan hantaran terakhir buat kedua-dua jaringan Reus.

“Sebagai pasukan tempat kedua, anda sentiasa lihat apa yang berlaku pada pasukan teratas tetapi kedudukan Bayern masih jauh dan kami perlu bimbangkan diri sendiri,” kata Reus.

Pemain Dortmund, Henrikh Mkhitaryan merembat masuk gol kedua pasukannya ketika menentang Werder Bremen di Bremen, Jerman. – Agensi
Pemain Dortmund, Henrikh Mkhitaryan merembat masuk gol kedua pasukannya ketika menentang Werder Bremen di Bremen, Jerman. – Agensi

“Kami tidak memiliki tempo yang tepat pada separuh masa pertama. Pada akhirnya semuanya menjadi tetapi nampak lebih sukar daripada disangka.”

Selepas Bayern terikat seri tanpa jaringan dengan Eintracht Frankfurt kelmarin Dortmund memanfaatkan peluang untuk merapatkan jurang dengan pasukan gergasi Bavaria itu.

Mereka kini menjaringkan 18 gol daripada empat perlawanan terakhir dan 64 daripada 20 perlawanan musim ini di bawah kendalian pengurus baru Thomas Tuchel.