Revolusi perniagaan

Revolusi perniagaan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 April – Brunei komited untuk menjadi sebahagian daripada rantau pertumbuhan Asia dengan memperbaiki persekitaran perniagaan menerusi perubahan besar dalam proses dan undang-undang/peraturan.

Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Ease of Doing Business (EODB), Awang Zulfadli bin Abu Bakar menekankan, Brunei telah dinilai sebagai negara yang paling meningkat (improved) dalam laporan World Bank Ease of Doing Business (DB) 2016.

Beliau menjelaskan mengenai persekitaran perniagaan di Brunei semasa menyampaikan ucapan selaku penceramah undangan dalam Dialog bagi Ease of Doing Business/Darussalam Enterprise (DARe) anjuran French Bruneian Business Association (FBBA), bertempat di Bangunan Reka Bentuk & Teknologi, Anggerek Desa, hari ini.

Hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Perindustrian) di Jabatan Perdana Menteri, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli.

Dalam ucapannya itu, Awang Zulfadli telah menggariskan pembaikan-pembaikan yang telah dilaksanakan bagi memudahkan perniagaan di negara ini antaranya, kini mereka telah selesai menghapuskan pengeluaran lesen perniagaan bagi tujuh jenis perniagaan kecil dan sederhana.

Para ahli panel ketika membicarakan beberapa isu yang dibangkitkan.
Para ahli panel ketika membicarakan beberapa isu yang dibangkitkan.
Awang Zulfadli semasa menjelaskan mengenai persekitaran perniagaan di Brunei.
Awang Zulfadli semasa menjelaskan mengenai persekitaran perniagaan di Brunei.

Manakala itu, perniagaan kecil dan sederhana yang sebelumnya memakan masa lama untuk memulakannya, kini hanya memerlukan masa yang singkat, kurang daripada sehari untuk memulakannya.

Beliau juga menyentuh mengenai bekalan elektrik di mana infrastruktur dan kebolehpercayaan projek mempunyai peningkatan dalam mengurangkan SAIDI / SAIFI (tempoh dan kekerapan gangguan bekalan) dengan sistem SCADA di Bandar Seri Begawan.

Gudang baru yang memerlukan infrastruktur baru kini hanya memerlukan masa yang pendek untuk mendapatkan bekalan elektrik iaitu daripada 58 hari kepada 17 hari sahaja.

Dalam penjelasannya, beliau berkata bahawa kerajaan juga akan memperkenalkan pampasan bagi gangguan bekalan yang melebihi satu jam.

Terdahulu, Presiden FBBA, Pierre Imhof dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa masalah yang sering dihadapi dari semasa ke semasa ialah apabila mereka (para PKS) mempunyai beberapa formaliti dan dari segi membangunkan perniagaan.

“Saya rasa dengan struktur baru ini, pada masa ini adalah masa yang sangat tepat bagi mereka untuk mendengar lebih lanjut mengenai persekitaran dan apa yang sebenarnya menjadi masa depan mereka sebagai PKS, bagaimana mereka boleh mengembangkan perniagaan mereka, bagaimana mereka boleh menjalankan perniagaan sandaran (backup business),” tekan Pierre Imhof.

Sesi dialog berkenaan mengetengahkan barisan ahli panel yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga DARe, Haji Abdul Saman bin Haji Ahmad, Lim Jin Yong, Dayang Hafimi binti Abdul Hadi, dan Dayangku Hajah Siti Normardinah binti Pengiran Haji Omarali serta pegawai dari EODB, Awangku Abdul Aziz bin Pengiran Ali Hassan bagi menjawab sebarang persoalan yang dibangkitkan oleh para tetamu yang hadir.

ARTIKEL YANG SAMA