Rezeki kandungan pertama

Rezeki kandungan pertama

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Anak pertama yang dikandungkan membawa tuah kepada Dayang Nur Khairunnisa binti Haji Durahman, 26, apabila beliau memenangi hadiah utama berupa wang tunai $5,000 dalam cabutan bertuah Promosi Pembelian Volkswagen yang berlangsung di Bilik Pameran, Volkswagen, hari ini.

Dayang Nur Khairunnisa dari Kampung Pandan, Kuala Belait, yang sedang hamil lapan bulan, semasa ditemui menjelaskan memang tidak disangka-sangka rezeki anak damit yang diberikan oleh Allah swt membawa berkat yang tidak terhingga.

“Alhamdulillah, saya merasa gembira dan bersyukur atas kemenangan hari ini dan duit ini nanti akan digunakan sebaik-baiknya bagi pembelian barang-barang anak damit pertama kami.

“Ini juga adalah merupakan kali pertama saya memenangi cabutan bertuah seperti ini,” ujar beliau, yang telah membeli kereta Volkswagen Vento, baru-baru ini.

Chan Key Hong bergambar ramai bersama tiga pemenang teratas promosi berkenaan.
Chan Key Hong bergambar ramai bersama tiga pemenang teratas promosi berkenaan.
Dayang Nur Khairunnisa bersama suami.
Dayang Nur Khairunnisa bersama suami.

Di majlis cabutan itu juga, hadiah kedua berupa wang tunai $3,000 telah dimenangi oleh Dr Norfarizal bin Othman, dan Awang Hasrono bin Julaini memenangi wang tunai $2,000 selaku pemenang ketiga.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Maju Motors, Chan Key Hong.

Majlis petang tadi turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada 97 orang pemenang lain yang membawa pulang pelbagai hadiah menarik seperti iPhone 6, Samsung Galaxy S6, Sony Bravia LED TV, sistem Home Theatre Blu-Ray Sony, baucar-baucar dan banyak lagi.

Promosi ini merupakan salah satu usaha Maju Motors selaku pengedar kereta jenama Volkswagen di negara ini untuk memberikan penghargaan kepada para pelanggan mereka bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang dalam masa beberapa hari lagi.

Majlis itu telah dihadiri oleh hampir 300 orang pelanggan Maju Motors dan kesemuanya tidak pulang dengan kosong, apabila mereka juga diberikan sampul raya edisi terhad Volkswagen.

ARTIKEL YANG SAMA