Rh. Panjang Teraja pikat pelawat

Rh. Panjang Teraja pikat pelawat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 10 Mac – Rumah Panjang Teraja sekali lagi menerima kunjungan pelancong luar negara dan rombongan turut disertai oleh rombongan pelawat dalam negeri iaitu Sakam Enterprise, diketuai oleh pemandu pelancong syarikat tersebut Awang Bohari bin Abdullah.

Rombongan tersebut telah dialu-alukan oleh Setiausaha Rumah Panjang Teraja, Awang Gaung Jamit dan Ketua Biro Wanita, Dayang Embung Munah serta ahli-ahli jawatankuasa rumah panjang tersebut.

Semasa berada di rumah panjang, rombongan berpeluang beramah mesra dengan penghuni di sana, sambil menikmati hidangan tengah hari yang menyediakan masakan tradisi ayam dalam buluh serta masakan ala kampung lainnya. Peserta rombongan turut dihiburkan dengan persembahan guling tangan dan persembahan tarian Ngajat dan kuntau oleh anak-anak penghuni rumah panjang tersebut serta berpeluang menyaksikan pameran kraf tangan yang dihasilkan oleh kaum wanita di sana.

Rombongan seramai 30 pelancong dalam dan luar negara itu juga telah meluangkan masa untuk melawat Wasai Sungai Beluluk yang kira-kira 40 minit perjalanan dari Rumah Panjang Teraja seterusnya turut melawat ke Wasai Teraja.

Pelancong dalam dan luar negeri menikmati hidangan tradisional penghuni Rumah Panjang Teraja.
Pelancong dalam dan luar negeri menikmati hidangan tradisional penghuni Rumah Panjang Teraja.
Pelancong dalam dan luar negeri merakamkan kenangan bersama penghuni Rumah Panjang Teraja.
Pelancong dalam dan luar negeri merakamkan kenangan bersama penghuni Rumah Panjang Teraja.

Lawatan tersebut juga bersempena Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia yang disambut pada 3 Mac setiap tahun.

Perjalanan menuju ke wasai merupakan pengalaman yang menarik bagi peserta rombongan. Sambil menikmati udara yang segar mereka juga dapat melihat keindahan alam sekitar yang boleh menambahkan kesihatan mental dan fizikal.

Turut sama dalam ekspedisi berjalan merentasi hutan wasai ialah seorang peserta veteran, Haji Wahab,77, yang nyata teruja melihat keindahan flora dan fuana yang masih terkawal dengan pengisian bermacam-macam jenis kehidupan yang jarang ditemui dan dilihat di kawasan bandar.