RHB catat keuntungan lebih RM2 bilion

RHB catat keuntungan lebih RM2 bilion

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) – Untung sebelum cukai RHB Capital Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2015 susut kepada RM2.106 bilion daripada RM2.735 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. Bagaimanapun, perolehan kumpulan naik kepada RM10.826 bilion daripada RM10.413 bilion sebelumnya, demikian menurut syarikat dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Prestasi kumpulan dipengaruhi oleh penurunan dalam pendapatan yuran berkaitan pasaran sekuriti dan perbankan pelaburan, pendapatan dagangan lebih rendah dan ketiadaan masuk kira semula yang besar serta pendapatan daripada penjualan pelaburan semasa tahun berkenaan.

Sementara itu, untung sebelum cukai bagi suku berkenaan berjumlah RM475.2 juta berbanding RM603.1 juta yang dicatatkan pada suku sama sebelumnya yang berakhir pada 30 Sept, 2015.

Ini disebabkan oleh susut nilai lebih tinggi dalam pinjaman dan pembiayaan, peningkatan perbelanjaan operasi dan kerugian susut nilai lebih tinggi terhadap aset lain, sebahagiannya diimbangi oleh asas bukan dana yang tinggi dan pendapatan berasaskan dana bersih, katanya.

Mengenai prospek tahun ini, memandangkan persekitaran ekonomi dijangka kekal mencabar, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada usaha mengoptimumkan kos dan mengurus kualiti aset.

“Kami memilih untuk melabur dalam bidang pertumbuhan utama dan meningkatkan pulangan portfolio kami, penekanan juga akan ke arah usaha menambah baik pengalaman pelanggan dan membina keupayaan digital,” kata Pengurus Urusan Kumpulan RHB Banking Group Datuk Khairussaleh Ramli dalam satu kenyataan.