Riadah kembara alam sekitar

Riadah kembara alam sekitar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Kefahaman serta pendidikan untuk menjaga keindahan alam sekitar perlu disemai dalam kalangan generasi muda supaya mereka lebih memahami mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar sebagai khazanah alam yang menjadi warisan turun temurun yang sangat penting kepada generasi muda masa kini.

Sehubungan itu, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Pengakap Tunas mengadakan kegiatan Kembara Alam Sekitar di Taman Peranginan Tasek Lama, di ibu negara, hari ini.

Kegiatan kembara alam sekitar itu dikendalikan oleh pemimpin-pemimpin Pasukan Pengakap Tunas 1066 Sekolah Stella dengan hasrat untuk mendedahkan kepada ahli-ahli Pengakap Tunas mengenai keindahan serta menyaksikan kepelbagaian tumbuhan flora dan fauna yang tumbuh di sepanjang laluan kembara sambil beriadah dan di samping itu dapat menjaga kesihatan tubuh badan dengan menghirup udara segar.

Acara itu disertai lebih 80 ahli Pengakap Tunas dari Sekolah Stella, Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas Subok, Sekolah Rendah Kampung Mata-mata dan Sekolah Rendah Tungku.

Ahli Pengakap Tunas bergambar ramai bersama Hajah Noraini.
Ahli Pengakap Tunas bergambar ramai bersama Hajah Noraini.

Turut menyertai kegiatan berkenaan ialah Pesuruhjaya Ibu Pejabat Pengakap Bahagian Pengakap Tunas, Hajah Noraini binti Haji Saidi yang juga Pemimpin Pasukan Pengakap Tunas Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas, Subok.

Juga hadir ialah Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Perempuan, Hajah Nor Rahmat binti Sidin; Pegawai Eksekutif Pengakap, Zainudin bin Haji Ishak, para pemimpin Pasukan Pengakap Tunas serta ahli keluarga Pengakap Tunas.

Kembara itu dimulakan dengan taklimat mengenai keselamatan yang disusuli dengan senamrobik bagi regangan dan pemanasan tubuh badan serta kembara alam sekitar melalui laluan yang disediakan bagi menyaksikan keindahan alam sekitar yang mereka lihat di sepanjang laluan kembara.

ARTIKEL YANG SAMA