Riadah RPN Panchor, Mengkubau dapat sambutan

Riadah RPN Panchor, Mengkubau dapat sambutan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Acara riadah sukan anjuran Majlis Perundingan Kampung Rancangan Perumahan Negara (RPN) Panchor, Mengkubau yang diadakan di Taman Riadah, Bukit Mengkubau, baru-baru ini, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan belia dan penduduk kampung kawasan berkenaan.

Sukan riadah itu bertujuan untuk memberikan aktiviti kepada kanak-kanak kampung selain menyatupadukan kalangan penduduk kampung, di samping mengamalkan aktiviti riadah sebagai amalan gaya hidup sihat.

Acara tersebut dimulakan dengan acara zumba dan diteruskan dengan pelbagai aktiviti dengan memberi peluang penyertaan daripada belia-belia dan penduduk kampong.

Pihak Media Permata sempat menemu bual salah seorang yang menyertai riadah berkenaan iaitu Awang Mohd Amir Hidayatullah bin Haji Bolhassan yang menjelaskan kegiatan sukan ini merupakan yang julung kalinya didakan dan tidak menyangka sambutan daripada belia dan penduduk kampung di luar jangkaan.

Belia-belia dan penduduk kampung tidak melepaskan peluang menyertai dalam acara riadah MPK RPN Kampung Panchor.
Belia-belia dan penduduk kampung tidak melepaskan peluang menyertai dalam acara riadah MPK RPN Kampung Panchor.

Pada acara riadah ini, sebanyak tiga acara sukan diadakan iaitu Bola Sepak Jalanan (street soccer) yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Terbuka dan Kategori Bawah 12 Tahun.

Manakala perlawanan bola jaring dan perlawanan fixie turut mendapat sambutan daripada peserta dan melihat kepada sambutan yang menggalakkan dari orang ramai, aktiviti ini akan dibuat setiap bulan dengan menambah beberapa acara sukan untuk dipertandingan.

Aktiviti ini juga adalah sebagai menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya rakyat dan penduduk di negara ini mengamalkan gaya hidup yang sihat melalui kegiatan riadah bersukan.