Ribery mahu Bayern bangkit

Ribery mahu Bayern bangkit

BERLIN, 6 Okt – Selepas beberapa malam tidak lena tidur akibat kekalahan Liga Juara-Juara di Madrid minggu lalu, Franck Ribery mahu rakan sepasukan Bayern Munich bangkit memburu kemenangan.

Pemain veteran Perancis itu tidak diturunkan ketika pasukannya seri 1-1 di laman sendiri menentang Cologne dalam saingan Bundesliga Sabtu lalu kerana masih keletihan selepas kekalahan 1-0 di tangan Atletico Madrid.

Ia adalah kekalahan keempat berturut-turut Bayern di tangan kelab Sepanyol dan juara Bavaria semakin tertekan apabila tercicir mata liga buat kali pertama musim ini walaupun mendahului Cologne 1-0.

Bagaimanapun Bayern masih mendahului persada Liga Jerman dengan kelebihan tiga mata, manakala 12 pemainnya kini bersama pasukan kebangsaan masing-masing.

(Dari kiri) David Alaba, Douglas Costa dan Franck Ribery memberikan pose kepada jurugambar semasa menyertai Oktoberfest di Munich, 2 Oktober lalu. – AFP
(Dari kiri) David Alaba, Douglas Costa dan Franck Ribery memberikan pose kepada jurugambar semasa menyertai Oktoberfest di Munich, 2 Oktober lalu. – AFP

Ribery berkata mereka perlu bangkit semula sekembalinya dari tugas antarabangsa untuk perlawanan liga menentang Eintracht Frankfurt pada 15 Oktober dan perlawanan Liga Juara-Juara di laman sendiri bertemu PSV Eindhoven empat hari kemudian.

“Kami perlu bermain seperti satu pasukan dan lupakan berkenaan dua keputusan buruk,” kata Ribery.

“Kami pasukan teratas dengan skuad yang baik. Kami perlu kembali bekerjasama, berjuang untuk satu sama lain dan kami boleh lakukannya dengan baik bersama-sama.” – AFP