Ribery saman majalah Closer

Ribery saman majalah Closer

PARIS, 8 Dis – Bekas pemain antarabangsa Perancis, Franck Ribery mengemukakan saman terhadap majalah Closer dengan menuntut 434,000 Euro berhubung satu artikel yang mendakwanya terbabit dalam kes pelacuran.

Pemain berusia 32 tahun itu menyaman majalah berkenaan dengan tuduhan menyebabkan ‘imej dan maruahnya terjejas teruk’, menurut dokumen yang diterima AFP, semalam.

Majalah Closer mendakwa Ribery bakal dihubungi mahkamah undang-undang susulan terbabit dalam kes pelacuran tetapi sebenarnya dia hanya menjadi saksi dalam kes berkenaan.

Pemain sayap itu, yang kembali beraksi buat Bayern Munich selepas sembilan bulan cedera, sebelum ini pernah didakwa kerana melanggan pelacur bawah umur pada 2009 walaupun dia dilepaskan tahun lalu.

Franck Ribery kembali berlatih bersama Bayern pada 5 Disember lalu sebagai persediaan menentang Moenchengladbach dalam aksi Bundesliga. - AFP
Franck Ribery kembali berlatih bersama Bayern pada 5 Disember lalu sebagai persediaan menentang Moenchengladbach dalam aksi Bundesliga. – AFP

“Franck Ribery sekali lagi menjadi mangsa tuduhan melulu oleh media Perancis tanpa tujuan lain selain untuk menjatuhkan reputasinya,” kata dokumen berkenaan.

Ribery ditemuramah oleh pihak polis pada 26 November lalu sebagai saksi, kata sumber polis kepada AFP Rabu lalu. Bagaimanapun, majalah Closer menafikan mereka melakukan sebarang kesalahan.

“Majalah Closer hanya menerbitkan maklumat yang sah dan disahkan oleh polis,” kata peguam majalah berkenaan Delphine Pando dalam satu kenyataan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA