Ribuan ahli keluarga mangsa 11/9 peringati ulang tahun ke-16

NEW YORK, 11 Sept – Memegang gambar-gambar dan membaca nama orang tersayang yang maut 16 tahun lalu, sanak-saudara mangsa 11/9 memperingati ulang tahun serangan di tanah lapang hari ini dalam satu upacara yang suram dan peribadi.

Ribuan anggota keluarga 11/9, mangsa terselamat, para penyelamat dan pegawai berkumpul ketika acara yang diadakan di Pusat Perdagangan Dunia (WTC) dimulakan dengan bertafakur dan membunyikan loceng. Kemudian anggota keluarga mula membacakan nama mereka hampir 3,000 orang yang terkorban dalam serangan ganas paling banyak membawa maut di tanah Amerika.

Mangsa-mangsa berkenaan terkorban apabila pesawat yang dirampas dirempuhkan ke pusat perdagangan, Pentagon dan sebuah padang berhampiran Shanksville, Pennsylvania pada 11 September 2001, menghumban Amerika ke dalam kesedaran baru mengenai ancaman pengganasan global.

Presiden Donald Trump, warga asal New York mengawasi ulang tahun itu buat pertama kalinya sebagai pemimpin negara, memerhatikan saat bertafakur di Rumah Putih bersama wanita pertama Melania Trump.

Upacara memperingati mangsa korban tragedi 11 September diadakan di Muzium dan Memorial 11 September, di New York. – AP

Keluarga Trump juga merancang untuk menyertai perkumpulan 11/9 di Pentagon. Setiausaha Pertahanan, Jim Mattis dan Jeneral Joseph Dunford, pengerusi Ketua Turus Tentera menghoskan upacara persendirian bagi ahli keluarga mangsa pada jam 9:11 pagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden Mike Pence dan Setiausaha Dalam Negeri AS, Ryan Zinke dijadualkan untuk menyampaikan ucapan di Memorial Kebangsaan Flight 93 berhampiran Shanksville.

Ia terletak di padang luar bandar di mana sebuah pesawat terhempas selepas penumpang dan kru bergelut untuk merampas alat kawalan daripada pengganas yang merampas pesawat itu yang menuju ke Washington. – AP