Ribuan bantah di Okinawa

Ribuan bantah di Okinawa

NAHA, Jepun, 19 Jun (AFP) – Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di pulau Jepun, Okinawa hari ini membantah kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) dan jenayah ganas yang dilakukan kakitangan-kakitangan Amerika yang telah mengundang kemarahan para penduduk selama berdekad-dekad lamanya.

Para pembantah, yang dijangka oleh pihak penganjur dalam bilangan lebih 50,000 telah berhimpun di bandar wilayah, Naha, berang dengan AS selepas seorang bekas Marin yang digaji sebagai pekerja pangkalan awam didakwa merogol dan membunuh seorang wanita muda tempatan pada April lalu.

Kes itu memburukkan lagi bantahan berlarutan terhadap pangkalan itu – bahagian utama gabungan keselamatan AS-Jepun – kota kara selatan subtropika, destinasi percutian popular bagi orang Jepun, dan semakin popular dalam kalangan negara China dan negara Asia lain.

Tunjuk perasaan itu yang diadakan di taman olahraga di tengah terik matahari dengan ramai penunjuk perasaan melindungi diri mereka dengan payung, bermula dengan bertafakur untuk Rina Shimabukuro, 20 tahun, mangsa bunuh dan mesej daripada ayahnya.

“Mengapa anak perempuan saya, mengapa dia dibunuh,” menurut mesej itu yang dibacakan bagi pihak ayah Rina, “Ingatan saya adalah sama seperti dengan semua keluarga yang mengalami kehilangan yang berdepan dengan penderitaan sehingga kini.”

Seorang penunjuk perasaan memegang sepanduk semasa perhimpunan menentang kehadiran pihak tentera AS di Naha, wilayah Okinawa pada 19 Jun. – AFP
Seorang penunjuk perasaan memegang sepanduk semasa perhimpunan menentang kehadiran pihak tentera AS di Naha, wilayah Okinawa pada 19 Jun. – AFP

Sebilangan dalam orang ramai itu, yang bilangan mereka yang tidak dapat segera disahkan, membawa sepanduk yang membawa perkataan dalam bahasa Jepun: ‘Kemarahan saya telah melewati batasannya’ dan ‘Keluarkan Pasukan Marin’.

“Saya amat sedih dan saya benar-benar tidak mahu ada mangsa lain lagi,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Chihiro Uchimura, 71.

“Selagi ada pangkalan tentera AS, insiden seperti ini akan terus berlaku,” katanya lagi.

Tunjuk perasaan serupa diadakan serentak di luar parlimen Jepun di Tokyo.

Para penunjuk perasaan juga mahu pembatalan rancangan Washington dan Tokyo untuk memindahkan kemudahan utama Marin AS di tengah pulau itu ke perairan asli pantai utara.