Ribuan belia bersatu

Ribuan belia bersatu

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Ribuan belia di keempat-empat daerah, hari ini, keluar bersama-sama melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan dalam acara penuh bermakna dan simbolik iaitu Day Of Action (D.O.A), yang diadakan buat kali pertama secara besar-besaran.

Pelancaran kempen sempena Hari Sukarelawan Antarabangsa, yang disambut setiap 5 Disember sejak 1985, itu telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof di Pusat Belia di ibu negara.

Dalam temu bual bersama media, Yang Berhormat Pehin gembira dengan sambutan daripada pelbagai agensi dan penyumbang, “malah ia telah melebihi jangkaan kami walaupun kali pertama diadakan. Kita telah menyaksikan sokongan padu daripada keempat-empat daerah.

“Ia adalah kesan yang baik kepada pemuda yang mahu sentiasa terlibat dalam bidang sukarelawan, dengan rangkaian yang dipelajari hari ini, usaha-usaha mereka untuk sampai kepada golongan yang memerlukan akan menjadi lebih mudah, kerana masih ramai pihak yang memerlukan bantuan,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Menurut beliau, pelbagai agensi yang terlibat mempunyai banyak pengalaman dalam program bantuan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan terus memberi bantuan kepada agensi-agensi ini dalam segi bantuan dan penyelarasan.

 

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi melancarkan Program D.O.A di Pusat Belia, semalam.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi melancarkan Program D.O.A di Pusat Belia, semalam.

pg04_160111_a

pg04_160111_c

pg04_160111_b

pg04_160111_d

Kempen D.O.A yang telah dimulakan oleh Jabatan Belia dan Sukan menyaksikan ribuan penyertaan belia di seluruh negara yang bertujuan menggalakkan semangat sukarelawan melalui aktiviti-aktiviti pembangunan masyarakat.

Antara yang terlibat adalah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), Majlis Perundingan Kampung Rimba, Majlis Kesejahteraan Masyarakat, Majlis Belia Brunei, Majlis AIDS Brunei, Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan KESAN, Chevening Alumni, Adison Marketing Services, Borneo Guide, Green Brunei, Green Leaders Camp Alumni, Singapore-Brunei Youth Leadership Exchange Programme Alumni, SCOT, Young Entrepreneurs Association Brunei, SUKA dan dikepalai oleh Pejabat Daerah Belait, Pejabat Daerah Tutong dan Jabatan Pembangunan Masyarakat.

Dalam temu bual itu, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi turut menyatakan bahawa program ini merupakan satu impak yang baik kepada golongan belia yang sentiasa menceburkan diri dalam khidmat sukarelawan supaya saling menghubungi dan mengetahui di mana mereka jika perlu menyelesaikan sesuatu masalah.

“Dengan adanya rangkaian kerja yang sudah ada pada hari ini, usaha-usaha lain pun akan lebih mudah kerana masih banyak juga pihak-pihak yang memerlukan bantuan. Jadi lebih senang para penderma mengumpulkan barangan dan mengagih-agihkan kepada golongan sasar,” jelas Yang Berhormat Pehin.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Belia Brunei, Awang Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff ketika ditemui pula berkata, kegiatan hari ini menentukan usaha daripada pelbagai sektor dan juga pelbagai kegiatan sinergi yang melibatkan seluruh daerah dengan kegiatan-kegiatan yang bervariasi.

“Ada yang berbentuk kebajikan, ada yang berbentuk kebersihan, ada berbentuk bantuan makanan dan sebagainya. Jadi, kegiatan ini merupakan satu kegiatan yang sangat bagus dan perlu disertai ramai lagi, bukan sahaja peringkat belia tetapi keseluruhan komuniti kerana sukarelawan tidak melihat usia, tidak melihat bangsa, melihat pangkat dan melihat agama. Ia adalah satu kegiatan komuniti yang akan dapat membangunkan ummah, negara dan bangsa.

“Apa yang diharapkan daripada kegiatan pada hari ini ialah ia dapat diteruskan pada bila-bila, tidak hanya pada hari sambutan yang berkaitan tetapi perlu diadakan setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan sepanjang tahun,” tekan beliau.

Bagi Majlis Belia Brunei, jelas beliau, mereka mengungkayahkan projek yang dinamakan ‘Kempen Kebersihan Masjid’ dengan memberikan keutamaan kepada tandas, saliran, longkang dan kawasan taman, dan ini melibatkan beberapa buah persatuan belia gabungan di seluruh daerah yang berada di kawasan zon komuniti masjid yang terpilih.

“Ia juga akan melibatkan majlis takmir masjid, belia masjid dan juga majlis perundingan kampung. Jadi, ada rakan sinergi yang kami libatkan yang ada di parameter zon masjid yang terpilih.

“Hasrat ini sebenarnya adalah untuk menggerakkan orang ramai untuk menjaga kebersihan dan juga menghargai apa saja kelengkapan dan juga prasarana yang telah tersedia di masjid agar ia dipelihara sebagai milik bersama,” kata Awang Zefri.

Sarjan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Dayang Nurul Azimah binti Awang Idris ketika ditemui pula menjelaskan, dalam kempen ini, PBSM mengadakan klinik statik dan juga kempen menderma darah hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan, untuk mengumpulkan 100 pain darah agar dapat menolong sesiapa sahaja yang memerlukan.

Tambah beliau lagi, mereka juga mengadakan pameran mengenai sejarah PBSM, prinsip persatuan dan juga akademik dan aktiviti yang telah mereka lakukan sejak awal tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA