Ribuan dipindahkan taufan bakal melanda

Ribuan dipindahkan taufan bakal melanda

TAIPEI, 27 Sept (AFP) – Beribu-ribu orang kebanyakannya pelancong, dipindahkan dari pulau di luar Taiwan hari ini tatkala Taufan Dujuan semakin kuat ketika ia menghampiri kawasan berkenaan, dijangka membawa hujan lebat dan ombak tinggi.

Biro Kaji Cuaca Taiwan, Balai Cerap Hong Kong telah meningkatkan Taufan Dujuan kepada ‘taufan kuat’ – kategori tertinggi – yang membawa angin dengan kelajuan maksimum 227 kilometer sejam pada tengah malam, berada 500 kilometer dari tenggara daerah Hualien pada pukul 2:30 petang, dan terletak kira-kira 350 kilometer dari pulau Jepun Ishigaki.

Operator feri menambah perjalanan untuk memindah orang dari Pulau Hijau dan Pulau Orkid, popular dengan pelancong, dan perkhidmatan akan dihentikan pada lewat hari ini.

Seramai 3,000 orang sedang dipindahkan dari kedua-dua pulau tersebut, kata biro pelancongan tempatan.

Ribut tersebut mengancam pelan hujung minggu untuk kebanyakan orang tatkala Taiwan menyambut Perayaan Kuih Bulan, apabila keluarga biasanya berkumpul dan melihat bulan.

Dujuan dijangka melanda Ishigaki pada tengah hari esok, dan mendarat di Taiwan pada petang itu. Ribut itu dijangka melanda China mulai Selasa selepas bergerak melalui Taiwan.

Agensi kaji cuaca Jepun telah mengingatkan ia mungkin mencetuskan ombak 13 meter tinggi apabila ia melanda negara itu.

Setakat ini tidak adanya laporan kerosakan atau kecederaan berhubung dengan taufan, namun “angin semakin kencang sekarang,” beritahu pegawai Ishigaki kepada AFP menerusi telefon.

Sekurang-kurangnya tiga penerbangan dibatalkan, kata laporan berita dan syarikat penerbangan Jepun, dan agensi kaji cuaca negara mengingatkan kemungkinan berlakunya runtuhan tanah, ombak tinggi dan hujan lebat.

ARTIKEL YANG SAMA