Ribuan kerapu hybrid mati akibat cuaca panas

Ribuan kerapu hybrid mati akibat cuaca panas

LABUAN, 25 Mac (Bernama) – Lebih 5,000 kerapu hibrid di sebuah kolam ternakan ikan di sini, mati dipercayai akibat suhu panas air laut berikutan fenomena El Nino yang melanda negara kini.

Ekoran ribuan kerapu yang popular dan mahal itu mati menyebabkan penternak mengalami kerugian lebih RM5,000.

“Ikan-ikan itu mati berperingkat berikutan peningkatan suhu air laut sebulan yang lepas,” kata Chia Hock Chok yang sudah mengusahakan ternakan ikan sejak tiga tahun lepas.

Kolam ikan Chia yang terletak di Kampung Lubok Temiang mempunyai 20 sangkar dan telah menghentikan pengeluaran sejak ternakan ikan kerapu beliau itu mati.

“Saya perlu menunggu sehingga cuaca kembali normal. Tiada lagi ikan dalam sangkar sekarang,” katanya.

Seorang lagi penternak, Ahmad Zaini Zainal Abidin berkata beliau perlu mengambil langkah-langkah tambahan terhadap empat sangkar ikannya di kawasan pelancongan popular, Perkampungan Air Patau-Patau 1, yang kini mempunyai kira-kira 300 ekor ikan kerapu termasuk benih ikan dan kerapu hibrid.

“Pada peringkat ini, ikan-ikan itu belum terjejas disebabkan cuaca panas kini. Tetapi, saya perlu lebih berhati-hati dan membuat pemantauan kerana tidak mahu menanggung kerugian,” katanya.

Zaini adalah antara penternak di sini, yang menerima bantuan kerajaan menerusi Jabatan Perikanan Labuan.

Kerapu hibrid adalah spesis baharu ikan kerapu. Ikan kerapu hibrid yang pertama di negara ini adalah menerusi kacukan yang dijalankan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama penyelidik Institut Penyelidikan Marin Borneo, UMS; Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kinki University dari Jepun.

Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Anuar Salam Sulaiman berkata penternak yang terjejas perlu segera membuat laporan kepada jabatan itu untuk mendapatkan bantuan.

“Kami berharap boleh membantu penternak yang terjejas. Sebaik sahaja kami menerima laporan daripada mereka, kami akan menjalankan analisis mengenai ikan yang mati itu bagi menentukan punca kematian ikan-ikan itu sama ada disebabkan cuaca atau pengurusan air,” katanya.