Ribuan lagi menuju ke Austria

Ribuan lagi menuju ke Austria

BEREMEND, Hungary, 20 Sept (AFP) – Dengan kereta api dan bas-bas penuh sesak, ribuan lagi penghijrah membanjiri masuk ke Austria hari ini dari negara-negara yang tidak dapat atau tidak sanggup menangani gelombang keterdesakan manusia yang lari daripada perang dan kemiskinan bagi mencari kehidupan lebih baik di barat Eropah.

Polis Austria mengatakan lebih 11,000 telah memasuki negara itu pada Sabtu dan lagi 4,700 tiba hari ini melalui pos sempadan Nickelsdorf dari Hungary.

Kebanyakan penghijrah telah membuat perjalanan menjerihkan menerusi Balkan menuju ke barat Eropah dengan Croatia mengatakan 21,000 telah memasuki wilayahnya dalam masa empat hari.

Palang Merah Austria mengatakan 2,000 telah berjaya memasuki ke Jerman dengan mengelak pos sempadan.

Para penghijrah berebut-rebut menaiki kereta api selepas menyeberangi sempadan berhampiran Zakany di Hungary untuk meneruskan perjalanan mereka ke Jerman pada 20 September. – AFP
Para penghijrah berebut-rebut menaiki kereta api selepas menyeberangi sempadan berhampiran Zakany di Hungary untuk meneruskan perjalanan mereka ke Jerman pada 20 September. – AFP

Sebahagian besar penghijrah melarikan diri dari perang di Syria, dengan Kesatuan Eropah menerima hampir suku juta permintaan perlindungan dalam masa tiga bulan hingga Jun.

Jerman sahaja menjangkakan sekitar sejuta pencari perlindungan tahun ini, namun Menteri Dalam Negeri negara itu, Thomas de Maiziere mengatakan EU seharusnya pada masa hadapan mengambil bilangan terhad penghijrah sahaja, sementara menghantar yang lain balik ke sebuah negara selamat di rantau mereka.

Hari ini juga, Hungary telah membuka semula penyeberangan sempadan utamanya dengan Serbia, yang ditutup seminggu lalu telah mengakibatkan ribuan penghijrah meluru ke Croatia.

ARTIKEL YANG SAMA