Ribuan pelajar bantah cukai yuran universiti

Ribuan pelajar bantah cukai yuran universiti

DHAKA, 11 Sept (AFP) – Beribu-ribu pelajar mengadakan bantahan jalan raya di ibu negara Bangladesh untuk hari kedua berturut-turut semalam menentang cukai yang dikenakan ke atas yuran universiti yang dikatakan oleh mereka mendiskriminasikan pendidikan lebih tinggi swasta.

Pelajar menyekat jalan raya utama di seluruh Dhaka sebagai sebahagian daripada mogok, sekali gus melumpuhkan bandar yang terdiri daripada 15 juta orang, tatkala polis memerhati.

Ketegangan memuncak selepas polis menembak peluru getah dan gas pemedih mata kepada pelajar membantah pada Rabu di Universiti Timur Barat selepas mereka menyekat jalan raya utama.

Sekitar 35 orang cedera dalam pertempuran di antara pembantah dan polis, kata akhbar bahasa Inggeris The Daily Star.

“Kami sedang mengadakan bantahan secara aman apabila polis menembak peluru getah secara tiba-tiba,” beritahu Mashfiq Ahsan, penganjur bantahan, kepada AFP.

“Pendidikan bukan satu produk tetapi salah satu hak asas kami. Cukai tambahan ini adalah tidak masuk akal,” kata beliau.

Pelajar berasa marah pada cukai nilai tambahan sebanyak 7.5 peratus yang dikenakan baru-baru ini ke atas yuran universiti swasta tempat ribuan pelajar Bangladesh mendaftar, tetapi bukan institusi awam.

Polis berkata ribuan pelajar mengambil bahagian dalam bantahan semalam, tetapi penganjur berkata puluhan ribu pelajar daripada universiti swasta mengadakan tunjuk perasaan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA