Ribuan pelajar California tiada rumah

Ribuan pelajar California tiada rumah

LOS ANGELES, 22 Jun (AFP) – Hampir 50,000 pelajar universiti awam terbesar di Amerika Syarikat tidak mempunyai rumah dan ramai yang terpaksa selalu berlapar, menurut satu kajian terbaharu minggu ini.

Kajian dijalankan California State University (CSU), yang mempunyai 23 kampus di seluruh negeri dan sejumlah 460,000 pelajar, menunjukkan 8.7 hingga 12 peratus pelajarnya tidak mempunyai rumah, manakala 21 hingga 24 peratus kekurangan sumber makanan secara konsisten.

Menurut Canselor sistem CSU, Timothy White ketika membentangkan penemuan kajian pada satu persidangan Isnin lalu, satu dalam lima pelajar di California State berdepan sumber makanan yang tidak terjamin.

Beliau berkata kajian itu dijalankan Februari lalu untuk mengukur bukti anekdot isu itu.

Turut disoal adalah kakitangan, fakulti dan pentadbir serta pelajar. Menurut laporan itu, ramai pelajar yang bergelut merasakan tahap keperluan mereka tidak difahami kakitangan kampus dan ada yang tidak menyedari bantuan yang ada untuk mereka.

Seorang pelajar tanpa rumah dikenali sebagai Nikki berkata, dia sudah memaklumkan kakitangan kediaman di sebuah kampus mengenai keadaannya tetapi diberitahu adalah tidak ‘adil’ untuk membenarkannya tinggal di asrama.

“Jika kami lakukannya untuk anda, bermakna kami perlu berbuat demikian untuk semua orang,” katanya menceritakan apa yang berlaku. Kajian, yang pertama seumpamanya di negara itu, mendapati komitmen seluruh sistem diperlukan untuk membetulkan keadaan itu.

“Kampus CSU sedang membangunkan program untuk menyokong keperluan pelajar pelarian dan sumber makanan yang tidak terjamin,” kata laporan itu.

“Bagaimanapun, pemahaman yang lebih besar mengenai jumlah pelajar ini, pengalaman mereka mengakses dan menggunakan perkhidmatan yang sedia ada diperlukan,” kata jurucakap CSU, Elizabeth Chapin.

ARTIKEL YANG SAMA