Ribuan pelarian Syria harungi cuaca sejuk

Ribuan pelarian Syria harungi cuaca sejuk

BEIRUT, 7 Feb – Beribu-ribu rakyat Syria mengharungi cuaca yang amat sejuk di sempadan Turki semalam selepas melarikan diri daripada serangan rejim yang mengancam bencana baru kemanusiaan, ketika Damsyik memberi amaran kepada Riyadh dan Ankara supaya tidak menghantar pasukan tentera.

Kerajaan berkata mana-mana tentera asing yang tidak dijemput yang memasuki Syria akan pulang, ”dalam keranda kayu” ekoran laporan bahawa Arab Saudi dan Turki yang menyokong pasukan pemberontak, boleh menghantar pasukan tentera.

Puluhan ribu orang melarikan diri pertempuran sengit ketika pasukan kerajaan yang dibantu oleh serangan udara Rusia minggu ini mara menyerang pemberontak, memutuskan laluan bekalan utama pihak penentang menuju utara metropolis Aleppo.

Penyeberangan sempadan Oncupinar, Turki yang berdepan Bab al-Salama di dalam Syria masih ditutup semalam menurut seorang wartawan AFP.

Kanak-kanak pelarian Syria yang kini berada di sempadan Turki. – AFP
Kanak-kanak pelarian Syria yang kini berada di sempadan Turki. – AFP

PBB berkata kira-kira 20,000 orang telah berhimpun di Bab al-Salama tetapi gabenor wilayah sempadan Kilis, Turki, Suleyman Tapsiz, berkata kira-kira 70,000 orang mungkin menuju sempadan.

Tapsiz berkata mereka yang berpindah tempat telah ditempatkan di lapan buah kem di bahagian Syria dan Turki yang telah pun dihuni oleh 2 hingga 2.5 juta warga Syria juga dapat menjaga 30 hingga 35,000 orang pelarian di dalam Syria.

Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu berkata negaranya akan mengekalkan ‘dasar sempadan terbuka’ bagi orang pelarian Syria. – AFP