Ribuan penduduk bantah projek nuklear China-Perancis

Ribuan penduduk bantah projek nuklear China-Perancis

BEIJING, 8 Ogos – Beribu-ribu orang membanjiri jalan sebuah bandar di timur China untuk membantah projek nuklear China-Perancis, kata penduduk hari ini, tatkala polis tempatan menafikan memukul penunjuk perasaan.

Penduduk di Lianyungang, 480 kilometer dari utara Shanghai, menjerit slogan dan mengibarkan panji-panji di luar pejabat kerajaan pada hujung minggu untuk mengadu mengenai kesan kesihatan dari kilang pemprosesan bahan buangan nuklear.

“Terdapat beberapa ribu orang,” beritahu seorang pekerja hotel yang enggan memberikan namanya kepada AFP menerusi telefon. Seorang lagi penduduk tempatan dengan nama keluarga Xu menggambarkan “pertempuran di antara polis dan pembantah.”

Kumpulan bahan api nuklear Perancis Areva pada 2012 bersetuju untuk bekerjasama dengan China National Nuclear Corp (CNNC) untuk membina sebuah kilang pemprosesan di China, tanpa menyatakan lokasi.

Penduduk tempatan berkata Lianyungang, sebuah bandar pelabuhan di wilayah Jiangsu, adalah calon utama, disebabkan sebuah stesen tenaga nuklear baru sedang dibina oleh CNNC berhampiran.

“Pembinaan sebuah kilang pemprosesan bahan buangan nuklear di Lianyungang adalah resipi bencana untuk generasi masa depan, penduduk tempatan mempunyai hak untuk meluahkan kemarahan,” kata seorang pekerja hotel lelaki yang enggan memberikan namanya.

Gambar yang disiarkan di Internet menunjukkan penduduk tempatan berkumpul di dataran awam yang dikelilingi oleh ratusan polis.

Polis bandar menerusi laman media sosial hari ini menafikan satu ‘desas-desus’ mengatakan mereka telah memukul pembantah mengakibatkan kematian seorang individu.

Bantahan memaparkan tentangan penduduk tempatan terhadap projek nuklear di China, yang sedang menambah kapasiti tenaga nuklear secara besar-besaran dan menggalak firma milik kerajaan membina kilang di luar negara.

China mempunyai 34 reaktor tenaga nuklear yang beroperasi, 20 sedang dibina dan kerja-kerja akan bermula untuk lebih banyak kilang, menurut Persatuan Nuklear Dunia. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA