Ribuan penyelamat dikerah

Ribuan penyelamat dikerah

BANDAR JOSO, Jepun, 11 Sept (AFP) – Banjir teruk telah mengakibatkan tiga orang terkorban dan berpuluh lagi hilang di timur Jepun, kata pihak berkuasa hari ini tatkala beribu-ribu anggota menyelamat dihantar untuk memindah penduduk yang terperangkap dari bandar yang dibanjiri di utara Tokyo.

Hujan paling lebat dalam beberapa dekad terus melanda negara, mengancam akan memburukkan lagi keadaan ekoran Taufan Etau, yang melanda Jepun pada awal minggu ini membawa angin kencang dan perjalanan yang kelam-kabut.

Sekurang-kurangnya 25 orang termasuk dua orang kanak-kanak berusia lapan tahun hilang di bandar Joso, kata penyiar NHK, memetik pegawai di kawasan yang terletak kira-kira 60 kilometer di luar Tokyo.

Komuniti yang terdiri daripada 65,000 penduduk terjejas semalam apabila tetambak di sungai Kinugawa roboh, membanjiri kawasan yang dilaporkan menjangkau 32 kilometer persegi dan termasuk 6,500 buah rumah.

Gambar udara menunjukkan rumah dihanyutkan oleh arus kuat dalam pemandangan yang mengingatkan mengenai tsunami teruk yang melanda pantai timur laut Jepun empat tahun lalu.

Seorang wanita berjalan ke arah sebuah rumah yang dihanyutkan oleh banjir deras di sebuah ladang di Joso, wilayah Ibaraki pada 11 September. – AFP
Seorang wanita berjalan ke arah sebuah rumah yang dihanyutkan oleh banjir deras di sebuah ladang di Joso, wilayah Ibaraki pada 11 September. – AFP

Penduduk Joso yang terdesak melambai tuala ketika mereka berdiri di beranda berusaha mendapatkan bantuan, sementara dingi tentera membawa berpuluh orang ke tempat yang selamat, dan helikopter mengambil orang lain dari bumbung rumah mereka.

“Ia adalah kali pertama saya melihat tetambak pecah di sungai Kinugawa,” beritahu seorang lelaki tua kepada AFP berhampiran sebuah pusat perlindungan di Joso.

Jurucakap kerajaan Yoshihide Suga berkata kira-kira 5,800 tentera, polis dan anggota bomba dihantar pada awal hari ini ke kawasan dibanjiri di mana anggota menyelamat telah bekerja sepanjang malam.

“Kerajaan sedang berusaha sedaya upaya menghantar polis, anggota bomba dan Pasukan Mempertahankan Diri, untuk menyelamatkan orang secepat mungkin,” kata Suga di Tokyo.