Ribuan risalah anti Pyongyang diedarkan

Ribuan risalah anti Pyongyang diedarkan

SEOUL, 15 Sept – Aktivis Korea Selatan melancarkan berpuluh ribu risalah anti-Pyongyang di sempadan ke Korea Utara hari ini, mengecam ujian nuklear terbarunya dan tidak menghirau ancaman serangan balas.

Risalah itu, mengkritik pemimpin Kim Jong-Un kerana mementingkan senjata nuklear daripada kesejahteraan penduduknya, dilancarkan dengan belon helium dari bandar sempadan Paju.

Kempen propaganda itu, dianjur oleh pembelot yang berubah menjadi aktivis Korea Utara Park Sang-Hak, diadakan di tengah ketegangan tentera yang meningkat di semenanjung Korea ekoran ujian nuklear kelima dan yang terbesar oleh Utara pada minggu lalu.

Beberapa jam sebelum pelancaran belon dijadual bermula, agensi berita Utara KCNA menyiarkan satu komentar yang menggambarkan Park sebagai “sampah manusia tanpa taraf di dunia.”

KCNA berkata pelancaran belon adalah satu respon terdesak terhadap kejayaan ujian pada minggu lalu, dan satu usaha oleh Seoul untuk ‘menghasut konfrontasi’ ketika tempoh percutian.

Aktivis anti-Korea Utara melancarkan belon helium di Paju, berhampiran dengan zon bebas tentera (DMZ) kelmarin. – AFP
Aktivis anti-Korea Utara melancarkan belon helium di Paju, berhampiran dengan zon bebas tentera (DMZ) kelmarin. – AFP

Pelancaran diadakan di tengah cuti pesta menuai Chuseok selama tiga hari – dirai oleh kedua-dua pihak di sempadan.

Aktivis konservatif Korea Selatan, termasuk kebanyakan pembelot Korea Utara telah berusaha melancarkan kempen penyebaran risalah dengan menggunakan belon helium besar bertahun-tahun lamanya, satu amalan yang membangkitkan kemarahan Pyongyang yang telah mengugut serangan tentera sebagai respon.

Park Sang-Hak berkata angin kencang di sempadan telah menjejas acara pelancaran kira-kira 150,000 risalah hari ini – separuh daripada jumlah yang dirancang.

“Kami melakukannya untuk memberitahu perkara yang benar kepada 20 juta penduduk yang kelaparan di Korea Utara,” beritahu Park kepada AFP. – AFP