Ribuan sertai...

Ribuan sertai upacara pengebumian Rafsanjani

TEHRAN, 10 Jan – Beratus-ratus ribu orang yang diketuai oleh pemimpin tertinggi Iran berhimpun di Universiti Tehran awal hari ini bagi upacara pengebumian bekas presiden Akbar Hashemi Rafsanjani.

Televisyen kerajaan menunjukkan orang ramai memenuhi jalan-jalan raya sekitar kampus itu tempat Ayatollah Ali Khomenei mengetuai ucapan sanjungan untuk Rafsanjani di sebalik ‘perbezaan’ mereka.

Presiden Hassan Rouhani, speaker parlimen Ali Larjani dan abangnya, ketua kehakiman Ayatollah Sadegh Larijani mengiringi pemimpin tertinggi itu.

Bekas presiden Mohammad Khatami, sekutu Rafsanjani, tetapi tidak sehati dengan rejim itu, tidak termasuk dalam delegasi rasmi itu pada upacara itu.

Rafsanjani yang pernah berkhidmat sebagai presiden dari 1989 hingga 1997, meninggal dunia Ahad lalu pada usia 82 tahun, akan dikebumikan di dalam halaman sama dengan Ayatollah Ruhollah Khomeini, pemimpin revolusi Iran, 1979. Bangunan makam Khomeini terletak di selatan Tehran.

Warga Iran berkumpul di sekitar kenderaan jenazah yang membawa keranda bekas presiden Akbar Hashemi Rafsanjani semasa majlis pengebumiannya di bandar Tehran pada 10 Januari. – AFP
Warga Iran berkumpul di sekitar kenderaan jenazah yang membawa keranda bekas presiden Akbar Hashemi Rafsanjani semasa majlis pengebumiannya di bandar Tehran pada 10 Januari. – AFP

Sepanduk hitam didirikan di Tehran dan beberapa poster menunjukkan pemimpin tertinggi itu dan Rafsanjani tersenyum bersama-sama, satu lagi poster menyatakan “selamat tinggal, penggempur lama.”

Perjalanan metro dan bas percuma disediakan menuju tempat pengebumian. Sejak kematian Rafsanjani, mesej takziah mencurah-curah dari dalam dan luar negara.

Malah Rumah Putih menghantar ucapan takziah, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini sejak revolusi 1979 yang membawa kepada pemutusan hubungan antara Tehran dan Washington.

Jurucakap Josh Ernest berkata “Rafsanjani, bekas presiden, adalah tokoh terkenal sepanjang sejarah Republik Islam Iran dan AS telah menghantar ucapan takziah kepada keluarga dan insan-insan kesayangannya.” – AFP