Ribuan sokong Kim Jong-Un

Ribuan sokong Kim Jong-Un

PYONGYANG, 6 Jan – Beribu-ribu rakyat Korea Utara berhimpun di Pyongyang dengan melaungkan slogan komunis dan berikrar menyokong pemimpin Kim Jong-Un yang dalam mesej Tahun Baru beliau merancang untuk menguji peluru berpandu balistik yang mampu sampai ke tanah besar AS.

Dengan mengenakan kot tebal dan mengangkat buku lima ke udara, mereka yang berhimpun di dataran Kim Il-Sung melaungkan ‘hidup rakan, Kim Jong-Un’ dan membawa sepanduk yang mengisytiharkan ‘marilah kita meneruskan kemaraan berjaya sosialisme.”

Kim meraikan Tahun Baru dengan ucapannya selama 30 minit yang disiarkan di televisyen yang sebahagian besarnya menumpu pada kebangkitan negara sebagai kuasa nuklear, dengan mengumumkan bahawa ia masih dalam ‘peringkat terakhir’ memajukan peluru berpandu antara benua seumpamanya yang boleh mengancam bumi AS.

“Rakyat seharusnya menganggap ucapan Tahun Baru Kim Jong-Un sebagai moto hidup dan perjuangan,” media kerajaan KCNA memetik seorang pegawai parti berkata pada perhimpunan itu.

Ucapan Tahun Baru Kim mengundang respons pantas daripada presiden AS yang baru dilantik, Donald Trump yang menggunakan Twitter untuk berikrar menghentikan laluan Pyongyang.

Pada tahun 2016, Korea Utara menjalankan dua ujian nuklear dan beberapa pelancaran peluru berpandu dalam usahanya memajukan sistem senjata nuklear yang mampu menyerang tanah besar AS, yang mengakibatkan Washington memperkukuhkan pertahanan anti peluru berpandunya di rantau itu.

Namun penganalisis-penganalisis berbelah bahagi tentang bagaimana dekatnya Pyongyang merealisasikan cita-cita nuklear sepenuhnya, terutamanya memandangkan ia tidak pernah berjaya menguji peluru berpandu balistik antara benua.

Dalam ucapan Tahun Barunya Kim juga mengakui ‘kekurangannya’ sebagai pemimpin dan menjanjikan ‘usaha yang diperuntukkan’ untuk menjadikan Korea Utara makmur lagi. – AFP