Ribuan terkandas di sempadan Greece

Ribuan terkandas di sempadan Greece

ATHENS, 28 Feb (AFP) – Kira-kira 6,500 orang terkandas di kem Idomeni di sempadan utara Greece dengan Macedonia semalam selepas empat buah negara Balkan mengumumkan had maksimum harian ke atas ketibaan penghijrah.

Ketibaan bermula pada minggu lalu selepas Macedonia mula menolak kemasukan warga Afghanistan dan mengenakan kawalan dokumen yang lebih ketat ke atas warga Syria dan Iraq, sekali gus memperlahankan perjalanan penghijrah dan pelarian.

Keadaan dijangka bertambah buruk selepas anggota EU Slovenia dan Croatia, serta Serbia dan Macedonia, berkata mereka akan mengehadkan jumlah penghijrah yang masuk setiap hari kepada 580.

Kawalan lebih ketat telah meninggalkan beribu-ribu orang, termasuk ramai kanak-kanak, terkandas di Greece, tatkala krisis penghijrahan paling teruk blok sejak Perang Dunia Kedua tidak menunjukkan tanda-tanda reda.

Lewat semalam, kira-kira 6,500 orang terkandas di Idomeni, menurut Agensi Berita Athens.

Beberapa penghijrah berehat di tepi sempadan Greece-Macedonia. – AFP
Beberapa penghijrah berehat di tepi sempadan Greece-Macedonia. – AFP

Pihak berkuasa Macedonia membuka lintasan sempadan Idomeni pada tengah hari semalam dan berpuluh penghijrah dibenarkan melaluinya, dengan sumber polis Greece tempatan berkata 300 orang dijangka menyeberangi sempadan pada lewat hari itu.

Lebih daripada 20,000 pelarian dan penghijrah lain berada di negara Greece, menurut pejabat Menteri Penghijrahan Yiannis Mouzalas.

Ketegangan meningkat di sepanjang sempadan sebelum itu, dengan kira-kira 400 penghijrah mengadakan bantahan menuntut kemasukan ke Macedonia.

Pengumuman pada Jumaat oleh empat buah negara Balkan keluar seminggu selepas Austria berkata ia hanya akan membenarkan 80 orang mendapatkan perlindungan sehari, dan juga berjanji akan mengehadkan jumlah orang melalui negara itu kepada 3,200 setiap hari.

Tindakan itu telah mencetuskan pertengkaran di antara Athens dan Vienna, dengan Greece bimbang ia akan menimbulkan kesan domino, meninggalkan beribu-ribu orang terkandas di wilayahnya selepas menyeberangi menggunakan bot dari Turki.