Ribuan warga Labuan sambut hari Wilayah Persekutuan

Ribuan warga Labuan sambut hari Wilayah Persekutuan

LABUAN, 7 Feb – Hari Wilayah Persekutuan ke-12 disambut meriah apabila lebih 5,000 orang dari segenap lapisan masyarakat pelbagai etnik, membanjiri Dataran Labuan, melambangkan perpaduan dan keharmonian yang utuh dalam kalangan warga pulau bebas cukai ini.

Tema ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ untuk sambutan tahun ini dipilih untuk menyatukan rakyat berbilang kaum di Wilayah Persekutuan Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Sambutan Hari Wilayah Persekutuan bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan rakyat supaya menghargai pengertian sebenar Hari Wilayah Persekutuan.

Artis-artis tempatan termasuk Amy Search dan Dadali Band dari Indonesia mengadakan persembahan semasa sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini malam tadi.

Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan warga Labuan selepas menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Dataran Labuan. – Bernama
Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan warga Labuan selepas menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan di Dataran Labuan. – Bernama

Beberapa acara telah disusun untuk sambutan selama sebulan sejak 2 Feb termasuk festival sukan laut seperti tarik tali bot, futsal, pertandingan memancing dan Larian Hari Wilayah Persekutuan yang disertai oleh peserta dari Sabah dan Brunei.

Sekurang-kurangnya 2,000 orang dari 27 kampung menyertai Kenduri 1Wilayah, dengan menyediakan sajian tempatan dan tradisional.

Sementara itu, rekod dari terminal feri menunjukkan jumlah pelawat ke pulau ini telah meningkat sejak Jumaat. – Bernama