Ribuan warga Myanmar lari ke China

Ribuan warga Myanmar lari ke China

BEIJING, 22 Nov – Kira-kira 3,000 orang telah melarikan diri daripada pertempuran di utara Myanmar menuju ke China, kata Beijing hari ini, ketika jumlah kematian akibat pertempuran antara tentera dan pemberontak etnik itu meningkat kepada sembilan orang.

Keganasan itu adalah pukulan terbaru kepada harapan pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi bagi menempa persetujuan damai seluruh negara selepas berdekad-dekad pemberontakan berdarah di sempadan Myanmar.

Pertempuran hebat berhampiran sempadan China di utara negeri Shan antara askar dan empat kumpulan etnik bersenjata, termasuk Tentera Bebas Kachin, telah mengakibatkan penduduk tempatan berduyun-duyun menyeberang sempadan.

Media kerajaan China berkata tenteranya telah menempatkan amaran kecemasan tinggi selepas salah seorang warganya cedera akibat peluru sesat dari seberang sempadan.

Jurucakap kementerian luar negeri Geng Shuang berkata ribuan lagi sudah menyeberangi masuk ke China.

Barisan panjang warga Myanmar yang menunggu di imigresen sempadan di Muse, di Negeri Shan, untuk menyeberang masuk ke wilayah Yunnan, China pada 22 November. – AFP
Barisan panjang warga Myanmar yang menunggu di imigresen sempadan di Muse, di Negeri Shan, untuk menyeberang masuk ke wilayah Yunnan, China pada 22 November. – AFP

“Kira-kira 3,000 warga sempadan Myanmar telah memasuki China untuk mengelak perang,” katanya kepada para wartawan.

“Atas pertimbangan kemanusiaan, kerajaan tempatan China telah menawarkan mereka penempatan sesuai dan membawa mangsa cedera ke hospital untuk menerima rawatan.”

Pejabat Aung San Suu Kyi berkata seorang mangsa telah terbunuh berhampiran sempadan bandar Muse, selain lapan dilaporkan maut dan 29 cedera pada Ahad.

“Orang ramai tidak berani untuk pergi keluar,” penduduk bandar Aye Aye memberitahu AFP.

“Kami amat takut. Kami berasa hendak pergi ke China jika situasi semakin memburuk.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA