Ribut Linfa cetus banjir di utara Filipina

Ribut Linfa cetus banjir di utara Filipina

MANILA, 5 Julai (AFP) – Banjir menenggelami bandar-bandar di utara Filipina ketika Ribut Tropika Linfa melanda di bahagian utara kepulauan itu, yang mana agensi-agensi bantuan telah pun bersedia untuk menangani bencana itu, hari ini.

Ketua pertahanan awam di rantau itu, Chito Castro mengatakan bahawa sekurang-kurangnya 11 buah bandar tepi pantai telah dijejaskan oleh air banjir dan sungai yang melimpah ketika Linfa melintasi kawasan itu.

“Hujan begitu lebat, angin kuat. Kebanyakan jalan-jalan tidak dapat dilalui. Beberapa buah rumah ditenggelami air separuhnya dan sebahagian yang lain hingga ke paras bumbung,” ujarnya kepada para wartawan.

Menurutnya belum ada laporan mengenai korban jiwa akibat ribut berkenaan, namun ini adalah kerana tumpuan ke atas usaha bantuan.

Bekalan elektrik juga putus di sebahagian besar kawasan utara, menghambat komunikasi.

Ribut itu, membawa kelajuan angin sekitar 120km sejam, bergerak ke barat laut pada kelajuan sembilan kilometer sejam dan dijangka melengkung ke arah utara, meninggalkan Luzon pada malam ini.