Ribut pasir landa Timur Tengah

Ribut pasir landa Timur Tengah

BEIRUT, 8 Sept – Dua orang disahkan meninggal dunia di Lubnan dan ratusan lagi telah dirawat akibat masalah pernafasan ketika ribut pasir menyelubungi hampir keseluruhan Timur Tengah, menurut kementerian kesihatan Lubnan hari ini.

Dalam satu kenyataan, kementerian kesihatan mengatakan dua wanita telah meninggal dunia di hospital di rantau Lembah Bekka akibat ribut berkenaan. “Jumlah kes-kes lemas dan kesukaran bernafas disebabkan ribut pasir itu telah meningkat kepada 750 orang,” menurut kementerian.

Kementerian kesihatan dan Palang Merah Lubnan mengatakan mereka sedang berwaspada ketika kepulan debu dan habuk menyelubungi negara dan hampir di negara jiran-jirannya.

Menteri Kesihatan Wael Abu Faour akan mengadakan mesyuarat kecemasan berhubung kesan ribut itu hari ini.

Kementerian kesihatan menggesa ‘orang ramai yang mengalami penyakit asma, alergi, jantung dan masalah paru-paru, serta wanita mengandung dan orang tua, untuk sentiasa berada di dalam rumah bagi mengelak habuk berkenaan.”

Seorang pejalan kaki dengan separuh wajahnya bertutup semasa ribut pasir di Baitulmuqaddis yang melanda di beberapa bahagian Timur Tengah hari ini, meragut dua jiwa dan ratusan lagi dimasukkan ke hospital di Lubnan. – Reuters
Seorang pejalan kaki dengan separuh wajahnya bertutup semasa ribut pasir di Baitulmuqaddis yang melanda di beberapa bahagian Timur Tengah hari ini, meragut dua jiwa dan ratusan lagi dimasukkan ke hospital di Lubnan. – Reuters

Perkhidmatan kaji cuaca Lubnan mengatakan ribut itu dijangka akan reda pada malam Rabu.

Ribut itu juga dapat dirasakan terutamanya di puluhan kem tidak formal Lubnan yang menempatkan pelarian Syria.

Di rantau Bekaa, seorang wanita melilit skarf kepalanya di wajahnya ketika dia berjalan melintasi kem sementara di salah sebuah kem berkenaan.

Lubnan kini menempatkan lebih 1.1 juta pelarian Syria, kebanyakannya tinggal di kem rapuh di tapak perkhemahan tidak formal.

Mouin Hamzeh, setiausaha agung Majlis Penyelidikan Saintifik Kebangsaan kerajaan Lubnan, mengatakan imej satelit menunjukkan ribut pasir itu berasal dari Iraq.

“Ia biasanya berlaku dua atau malah tiga kali setahun di Lubnan namun semasa musim bunga, Mac dan April, dan perkara luar biasa hari ini adalah densiti ribut berkenaan,” ujarnya kepada AFP. – AFP