Ribut ragut 3 jiwa

Ribut ragut 3 jiwa

SYDNEY, 6 Jun – Cuaca teruk yang melanda pantai timur Australia dan mencetuskan ombak besar di pantai Sydney telah mengorbankan tiga orang dan yang lain dilaporkan hilang, menurut polis hari ini ketika kerja pembersihan bermula.

Ribut ganas melanda pantai pada hujung minggu, yang mengakibatkan banjir di New South Wales sementara lautan besar mengakibatkan hakisan pantai, yang mana dalam satu keadaan menghanyutkan kolam renang dalam tanah di rumah yang terletak di tepi pantai.

“Ribut ini, yang begitu ganas, telah mengorbankan nyawa,” Perdana Menteri New South Wales Mike Baird berkata ketika beliau memberi amaran bahawa keadaan masih berbahaya.

“Adalah jelas – keganasan taufan ini yang mengakibatkan kerosakan atas bawah pantai yang sukar dipercayai.

Biro Meteorologi berkata kombinasi hujan, angin dan tindakan ombak telah bergabung untuk mencetuskan keadaan amat teruk.

Seorang lelaki tempatan melihat rumah yang rosak akibat ribut ganas yang melanda Collaroy di pantai utara pada 6 Jun. – AFP
Seorang lelaki tempatan melihat rumah yang rosak akibat ribut ganas yang melanda Collaroy di pantai utara pada 6 Jun. – AFP

Satu bahagian Sydney mengalami banjir teruk dalam tempoh 30 tahun, manakala stesen cuaca bandar itu, Observatory Hill, menerima kira-kira 225 milimeter turunan hujan pada hujung minggu, melebihi purata turunan hujan bulanan bagi bulan Jun iaitu 131.9 milimeter.

Menurut biro itu tiupan angin melebihi 115 kilometer sejam telah dicatatkan di Sydney Harbour ketika ribut itu, manakala dua dari tiga landasan kapal terbang di lapangan terbang Sydney telah ditutup disebabkan angin kencang.

Menurut polis para penyelam telah menemui dua mayat dari kereta yang dihanyutkan dalam air banjir, satu di pinggir bandar barat daya Sydney, Leppington dan satu lagi di bandar Bowral, kira-kira 100 kilometer selatan bandar itu.

Perkhidmatan Kecemasan kerajaan New South Wales mengatakan meskipun kru penyelamat banjir berusaha memberi tumpuan pada kenderaan di anak sungai Leppington, mereka hanya dapat menyelamatkan seorang penumpang di dalamnya. Menurut polis mereka terdengar tangisan orang lain.

Menurut pihak berkuasa mayat lelaki ketiga ditemui berhampiran penyeberangan sungai dibanjiri dekat Canberra, menambah bahawa percubaan untuk menyelamatkannya juga gagal akibat cuaca buruk dan air yang semakin meningkat naik. – AFP