Ribut salji AS bunuh 25, Washington bergelut untuk pulih

Ribut salji AS bunuh 25, Washington bergelut untuk pulih

WASHINGTON, 25 Jan – Wilayah timur Amerika Syarikat (AS) pulih seketika daripada ribut salji besar yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 25 orang maut namun Washington masih terjejas teruk apabila pejabat kerajaan dan sekolah kekal ditutup hari ini.

Ribut yang digelar “Snowzilla” membadai berpuluh negeri pada Jumaat sehingga awal pagi Ahad, menyebabkan kira-kira 85 juta penduduk terpaksa duduk di dalam rumah dan tidak berada di jalan raya demi keselamatan mereka.

Salji besar setebal 68 sentimeter menyelaputi Central Park, di New York dikira salji kedua tertinggi pernah dicatat sejak 1869 dan lebih 55.88 sentimeter salji melumpuhkan ibu negara Washington.

Rekod tertinggi bacaan salji turut dicatat di beberapa bandar lain dan merebak sehingga ke Pantai Timur dengan Philadelphia dan Baltimore turut menerima sebahagian daripada kesan paling teruk akibat bencana alam itu.

Namun ketika ribut salji besar itu tamat dan suhu kembali meningkat, New York bangkit daripada situasi lumpuh dan kembali cergas dengan jadual perjalanan. Jalan raya dibuka semula di seluruh bandar di Long Island dan di New Jersey.

Penduduk membersihkan salji dari jalan mereka di Union City, New Jersey, di seberang Sungai Hudson dari Midtown Manhattan, selepas ribut musim sejuk kedua terbesar dalam sejarah melanda New York .  – Reuters
Penduduk membersihkan salji dari jalan mereka di Union City, New Jersey, di seberang Sungai Hudson dari Midtown Manhattan, selepas ribut musim sejuk kedua terbesar dalam sejarah melanda New York . – Reuters

Beribu-ibu orang memenuhi kawasan taman, bermain salji, menganjurkan pertandingan lawan bola salji dan ski merentas desa sambil kanak-kanak gembira bermain salji di bawah sinar mentari.

Sementara itu, pertunjukan broadway diteruskan semula selepas dibatalkan pada Sabtu dan muzium dibuka semula manakala kawasan yang diselaputi salji di jalan utama dibersihkan dengan segera dan suhu kini 32 darjah Celsius. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA