Ricciardo harap mampu konsisten

Ricciardo harap mampu konsisten

BUDAPEST, 26 Julai (AFP) – Daniel Ricciardo berharap peningkatan yang dipamerkan pasukan Red Bull pada sesi ujian menjelang perlumbaan Grand Prix Hungary hari ini akan terus konsisten pada baki separuh kedua musim ini.

Selepas menempuh setahun yang cukup mengecewakan, pemandu Australia itu kembali tersenyum selepas menamatkan sesi ujian kedua di kedudukan ketiga di belakang rakan pasukan Daniil Kvyat dan pendahulu keseluruhan ketika ini dari Mercedes, Lewis Hamilton.

Malangnya Ricciardo turut bergelut dengan satu lagi masalah kegagalan enjin Renault pada sesi ujian seterusnya selepas melakar catatan masa terbaik.

“Hari yang bagus,” katanya. “Ia antara hari Jumaat yang terbaik. Kami sedang berusaha untuk terus berdaya saing dan secara amnya saya fikir ia hari terbaik bagi kedua-dua kereta pasukan ini.

“Saya harap kami dapat mengekalkan apa yang kami dapat ketika ini. Saya menjangkakan (Nico) Rosberg berada di depan kami tapi jika kami mampu untuk menjadi pasukan kedua terbaik pastinya esok adalah hari yang benar-benar baik.

“Bagi saya sesuatu yang bagus dapat menamatkan sesi ujian. Dengan minyak penuh ia satu perkara positif dan saya sangat gembira dengan kelajuan yang dicapai. Kami tidak sabar untuk kembali ke landasan yang betul.”

Ricciardo menggunakan unit jentera lama kelmarin dan tidak akan dikenakan sebarang penalti jika dia menukarkannya kepada enjin baru pada sesi kelayakan perlumbaan kali ini.

ARTIKEL YANG SAMA