Rindu dengan suasana Ramadan di Brunei

Rindu dengan suasana Ramadan di Brunei

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Menjalani ibadah puasa di perantauan dan berjauhan daripada keluarga bukanlah satu perkara yang mudah tambahan lagi bagi ahli Persatuan Pelajar Brunei Australia Barat (BSAWA) yang tahun ini hanya mempunyai kira-kira 10 orang pelajar yang beragama Islam.

Oleh kerana jumlah pelajar yang sedikit, perasaan rindu terhadap kampung halaman semakin dirasai terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.

Perkara itu dinyatakan oleh mahasiswa Universiti Curtin, Perth, Awang Muhamad Zulfadli Mahadi, 22, yang mengambil program Sarjana Muda bahagian Kaji Selidik ‘Bachelor of Surveying’ yang juga selaku Presiden BSAWA dalam pendekatan wartawan Media Permata berhubung Ramadan di perantauan bagi pelajar-pelajar kita.

“Rutin harian kami bermula dengan memasak hidangan sahur dan sungkai secara bergilir-gilir setiap hari, kemudian diteruskan dengan sembahyang Maghrib dan Isyak dan sembahyang sunat Tarawih dan Witir berjemaah diserikan lagi dengan perkongsian hadis dan doa harian,” jelasnya.

Sesi tazkirah dan perbincangan juga diadakan selepas solat subuh berjemaah, jelasnya lagi.

Antara pelajar perantauan yang menjalani ibadah puasa bersama rakan-rakan seperjuangan.
Antara pelajar perantauan yang menjalani ibadah puasa bersama rakan-rakan seperjuangan.

Menurutnya, waktu berpuasa di Perth, Australia hanya bermula pada jam 6 pagi dan berakhir jam 5:15 petang.

Selain itu, BSAWA turut menerima kunjungan daripada Persatuan Pelajar Indonesia Australia (PPIA) yang mengadakan Majlis BukBer (Buka Bersama) di mana kedua-dua persatuan bertukar juadah hidangan dan berbuka puasa bersama, tambahnya lagi.

Menyentuh mengenai Bazar Ramadan di sana, Awang Muhamad Zulfadli mengatakan walaupun bazarnya amat berlainan daripada bazar-bazar di Brunei dan hanya diadakan pada setiap hari Ahad, ia sedikit sebanyak dapat mengubat rindu bagi mereka yang berpuasa di perantauan.

ARTIKEL YANG SAMA