Rindu masakan air tangan ibu

Rindu masakan air tangan ibu

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Masakan ibu paling dirindukan pada bulan Ramadan bagi pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara, namun kehidupan mereka diteruskan dengan aktiviti biasa jika ada masa terluang.

Salah seorang pelajar itu, Dayang Maziah binti Mashadi yang menuntut dalam jurusan Pengurusan dan Sains, di sebuah universiti di Malaysia, berkongsi pengalaman tahun kedua menunaikan ibadah puasa di perantauan.

Menurutnya, sejak tahun pertama sehingga kini, beliau merindui masa-masa bersama keluarga di bulan Ramadan, terutamanya masakan ibunya, pucuk ubi masak lemak ikan masin, ambuyat dan sambal tempoyak. Beliau yang kini dalam tahun kedua pengajian, bagaimanapun bersikap positif dan seronok mengisikan pelbagai aktiviti dengan rakan serumah.

“Saya dan teman serumah akan menunggu waktu berbuka dan merasa waktu berpuasa lebih lama dari berpuasa di Brunei, ini kerana perbezaan jam untuk berbuka adalah sejam,” jelasnya.

Dayang Maziah bersama rakan-rakan berbuka puasa di luar dan ada kalanya merancang berbuka puasa secara bawa sendiri makanan.
Dayang Maziah bersama rakan-rakan berbuka puasa di luar dan ada kalanya merancang berbuka puasa secara bawa sendiri makanan.
Ramadan turut diisikan dengan aktiviti belajar berkumpulan bersama pelajar lain memandangkan mereka menghadapi peperiksaan pada minggu kedua Ramadan.
Ramadan turut diisikan dengan aktiviti belajar berkumpulan bersama pelajar lain memandangkan mereka menghadapi peperiksaan pada minggu kedua Ramadan.

Di sini, tambahnya, pelajar Brunei Darussalam akan berkumpul dan menyediakan hidangan bawa sendiri untuk dinikmati bersama-sama. “Kami akan mencari hari dan tempat sesuai untuk mengadakan berbuka puasa bersama ini, masing-masing membeli atau memasak juadah berbuka dan berkongsi sama bila waktu sungkai,” katanya.

Memandangkan peperiksaan semester jatuh pada minggu kedua Ramadan, kebanyakan aktiviti sebelum dan selepas berbuka adalah belajar berkumpulan atau berbuka bersama mentor di kampus universiti, seterusnya bertarawih dan bertadarus beramai-ramai.

ARTIKEL YANG SAMA