Ringgit dijangka terus stabil

Ringgit dijangka terus stabil

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka ringgit mencatatkan prestasi baik bagi tempoh jangka panjang dirangsang oleh asas-asas ekonomi yang kukuh, kata Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata keadaan turun naik ringgit sekarang berbanding dolar AS adalah disebabkan oleh pengukuhan dolar AS, susulan keadaan tidak menentu dalam pelarasan kadar faedah ekonomi terbesar dunia itu sudah kembali normal.

Muhammad berkata ini terbukti daripada pergerakan turun naik yang dicatatkan mata wang serantau berbanding dolar AS.

“Mata wang serantau mencerminkan kekuatan dolar AS yang agak kukuh dalam tempoh beberapa bulan lepas.

“Namun, jika anda lihat pada data ekonomi, kita (Malaysia) adalah kukuh.

Pelancong asing melihat kadar pertukaran mata wang asing kepada Ringgit Malaysia (RM) ketika tinjauan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur2 (KLIA2). BNM) menjangka ringgit mencatatkan prestasi baik bagi tempoh jangka panjang dirangsang oleh asas-asas ekonomi yang kukuh. – Bernama
Pelancong asing melihat kadar pertukaran mata wang asing kepada Ringgit Malaysia (RM) ketika tinjauan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur2 (KLIA2). BNM) menjangka ringgit mencatatkan prestasi baik bagi tempoh jangka panjang dirangsang oleh asas-asas ekonomi yang kukuh. – Bernama

“Jadi, untuk tempoh jangka panjang, ia (ringgit) akan mencerminkan kekuatan ekonomi kita,” katanya pada sidang akhbar untuk mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku kedua, di sini, hari ini.

Dalam tempoh jangka pendek, katanya, ringgit dijangka kekal tidak menentu, dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti pertumbuhan global, peristiwa geopolitik dan perubahan dasar di negara-negara maju.

“Norma baharu adalah ringgit akan menjadi tidak menentu,” katanya.

Mengenai kadar dasar semalaman (OPR), Muhammad berkata BNM akan menilai data ekonomi semasa terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Kami belum lagi melihat data ekonomi. Selepas kami melihatnya, barulah kami akan membincangkan bagaimana untuk mengambil sebarang langkah,” katanya.

Bagi akaun semasa, beliau berkata bank pusat yakin ia akan terus positif tahun ini meskipun persekitaran yang mencabar.

“Bagaimanapun, bagi tahun depan, ia akan bergantung kepada pertumbuhan global.

Muhammad berkata bank pusat juga mengekalkan unjuran defisit fiskal pada 3.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar. – Bernama